Jenazah pelajar itu diterbangkan dari Amman, Jordan kira-kira pukul 2 pagi waktu Jordan dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 9.15 malam. Jenazah kemudian diterbangkan ke Pulau Pinang dan tiba kira-kira pukul 10.35 malam.

Suasana pilu menyelubungi lebih 200 saudara mara, rakan dan bekas guru Sumaiyah yang berada di kediaman keluarga pelajar itu bagi memberi menziarahi jenazahnya.

Jenazah kemudian dibawa ke surau Darul Syifa untuk disembahyangkan.

Dalam kejadian antara pukul 5 dan 6 petang waktu Jordan pada Jumaat lepas, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Sumaiyah dan empat pelajar Malaysia terbabas dan terjunam ke dalam gaung di jalan antara Petra dan Aqabah kira-kira 320 kilometer dari Amman, Jordan.

Kemalangan itu meragut nyawa Sumaiyah pelajar tahun satu bidang astronomi fizik University College London (UCL) tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan menyebabkan empat yang lain cedera iaitu Muhammad Nazirul Mubin Nasruddin, Mohamad Shukri Alias, Nur Ili Dayana Mazlan @ Masgelan dan Humairak Ibrahim.

Muhammad Nazirul, Humairak dan Muhamad Shukri merupakan pelajar tahun tiga di Universiti Yarmouk, Jordan.

Nur Ili Dayana pula pelajar tahun empat di UCL tajaan Bank Negara Malaysia.

- Bernama