22 Jun 2013

Huru-hara: Rafizi nafi kenyataan ketua polis KL

13 Syaaban 1434H.
Harakahdaily.

KUALA LUMPUR: Penganjur himpunan Black 505 di Padang Merbok esok menafikan sekeras-kerasnya kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh yang menuduh kononnya terdapat arahan untuk melakukan provokasi terhadap anggota polis dengan tujuan mencetuskan rusuhan.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli yang terkejut dengan kenyataan itu berkata, pihak polis boleh menilai kesemua kenyataan medianya dan laporan temuramah mengenai kesemua perhimpunan #black505 sebelum ini.



"Saya juga merupakan penganjur utama kesemua perhimpunan #black505 termasuklah yang akan diadakan esok di Padang Merbok dan terlibat di dalam kesemua perancangan.

"Tidak ada satu perbincangan pun yang menyentuh mengenai kekasaran terhadap pasukan polis, malah saya berhubung dengan baik dengan Ketua Polis Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad sepanjang penganjuran ini.

"Tidak ada satu pun yang mengarahkan sebarang provokasi atau kekasaran terhadap pasukan polis," tegasnya dalam satu kenyataan lewat petang ini.

Menurut beliau, oleh kerana kenyataan Mohamad Salleh itu adalah tidak benar dan memberikan gambaran buruk terhadapnya selaku penganjur, maka beliau telah mengarahkan peguam untuk mengambil tindakan undang-undang dan saman terhadap ketua polis KL itu.

"Saya juga mempertahankan kenyataan saya petang ini bahawa penganjur telah mendapat isyarat tidak rasmi dari pimpinan atasan bahawa pihak polis akan memberikan kerjasama untuk membolehkan perhimpunan esok berjalan lancar.

"Saya percaya keputusan itu akan diselaraskan di peringkat pimpinan polis dan Kementerian Dalam Negeri selepas ini," katanya.

Tiada ulasan: