21 Jun 2013

Maut jatuh dari tingkat 11

12 Syaaban 1434 H. [MOD] -

Maut jatuh dari tingkat 11

BANDARAYA MELAKA - Seorang lelaki ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 11 sebuah pangsapuri servis di sekitar Taman Melaka Raya di sini, petang kelmarin.

Kejadian kira-kira 4.25 petang itu dipercayai berlaku ketika sepasukan anggota polis narkotik yang sedang melakukan operasi rutin mengetuk pintu rumah didiami mangsa bersama empat lagi rakannya termasuk tiga wanita.

Mangsa berusia 31 tahun berasal dari Merlimau, Jasin itu bagaimanapun dijumpai terbaring dengan berpakaian kemas di kawasan bawah premis berkenaan, berhampiran persimpangan lampu isyarat dan laluan utama.

Menurut seorang saksi yang enggan dikenali, dia yang mendengar bunyi dentuman kuat yang luar biasa sebelum menyedari objek di atas jalan raya yang sebenarnya mayat seorang lelaki.

“Saya terperanjat mendengar bunyi dentuman kuat dan luar biasa seolah-olah objek terjatuh dari tingkat atas bangunan. Apabila saya perhatikan betul-betul objek itu, rupa-rupanya adalah mayat seorang lelaki.

“Mangsa yang berpakaian kemas dan sebahagian daripada kepalanya berlumuran darah didatangi polis tidak lama kemudian, sebelum melakukan siasatan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Menurutnya, mangsa yang cedera di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye mengesahkan laporan itu dan mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.

“Hasil pemeriksaan polis menemui sejumlah dadah di dalam sebuah bilik di rumah itu yang dirampas untuk tindakan lanjut dan semua empat individu yang berada di dalam rumah itu turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya.


sinar/-

Tiada ulasan: