Jumpa bangkai harimau bintang

Bangkai binatang dipercayai harimau bintang dewasa dijumpai mati dalam takungan air dekat Kampung Sentosa.
MARAN - Seorang pesara tidak menyangka bau busuk dengan kehadiran lalat yang banyak membawa kepada penemuan bangkai harimau bintang dalam sebuah takungan air dekat Kampung Sentosa, di sini.

Pemilik Galeri Seni M Warna, Zakaria Adam berkata, takungan air longkang berdekatan galerinya itu agak terlindung kerana mempunyai kedalaman melebihi lima meter di lereng berbukit.

Menurutnya,  bau busuk seakan bangkai binatang semakin kuat dari hari ke hari menyebabkan dia mencari punca bau tersebut.

“Mulanya saya sangka bau busuk ini mungkin datang dari kawasan jauh kerana baunya hanya sekali sekala, tapi selepas beberapa hari, bau sama tidak hilang malah makin kuat, saya syak ada binatang mati di kawasan sekitar galeri.

“Ketika menghampiri takungan air longkang ini saya nampak banyak lalat, rupanya bangkai binatang bersaiz besar di dalam air dengan keadaan berulat,” katanya.

Zakaria berkata, pada mulanya dia sangka bangkai itu hanya seekor musang, namun berdasarkan corak kulit dan belang di bahagian ekor, ternyata ia harimau bintang.

Menurutnya, rakan lain turut menyatakan perkara sama dan ia dipercayai mati sejak seminggu lalu.

“Saya biarkan sahaja bangkai ini kerana terlalu busuk malah hampir reput jika mahu tarik ke atas untuk ditanam,” katanya
.

sinar/-