21 Jun 2013

China Tarik Balik Sekatan Ke Atas 12 Syarikat Pengeksport Sarang Burung Walit

12 Syaaban 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA, 20 Jun (Bernama)-- China menarik balik sekatan produk Sarang Burung Walit (SBW) Malaysia ke negara itu, dengan sembilan syarikat diberi status telah lulus dengan syarat manakala dua diberi status hanya lulus selepas pembetulan.

Empat syarikat gagal selepas kerajaan negara itu melakukan pengauditannya sendiri, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
"Sembilan syarikat diberikan status telah dilulus dengan syarat, di mana syarikat pemprosesan telah diluluskan tetapi perlu melakukan tindakan penambahbaikan.

"Pengesahan pelaksanaan penambahbaikan oleh syarikat akan dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia (DVS, MOA dan Bahagian Kualiti dan Keselamatan Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia).

"Perakuan pelaksanaan tindakan pembetulan oleh MOA itu dihantar ke negara China di mana pihak negara itu akan menerima dan mendaftarkan syarikat terbabit," katanya dalam satu kenyataan, Khamis.

Sembilan syarikat itu ialah Sunshine Region Sdn Bhd, PT Swiftlet Marketing Sdn Bhd, Tian Ma Bird Nest Sdn Bhd, Kuan Wellness Sdn Bhd, Wing Shen Food Industries Sdn Bhd, Fucifagus Agritech Sdn Bhd, Yan Ming Resourcess Sdn Bhd, Golden Mah Bird's Nest Sdn Bhd dan Yen Pao Lai (M) Sdn Bhd.

Dua syarikat yang diberi status hanya lulus selepas pembetulan ialah Multiform Food Supply Co Sdn Bhd dan Blogrow Resources Sdn Bhd.

Ismail Sabri berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memanggil sembilan syarikat berstatus telah dilulus dengan syarat untuk meneliti dan memastikan setiap tindakan pembetulan serta tindakan penambahbaikan, yang digaris negara China, dilaksanakan segera.

Beliau berkata dua loji yang berstatus hanya lulus selepas pembetulan juga akan dipanggil untuk tujuan menambah baik aliran proses kerja dan pengubahsuaian struktur.

"Empat loji yang berstatus gagal akan diminta menghantar semula permohonan setelah meneliti ketidakakuran yang telah digariskan oleh CNCA (National Certification and Accreditation Administration)," katanya.

Isu sekatan eksport SBW dari Malaysia ke China timbul pada Julai 2011 selepas beberapa media di negara itu mempertikai kualiti yang dimport dari negara ini.

Hasil pemeriksaan ke atas SBW merah mendapati ia mengandungi nitrit melebihi 1,000 ppm, tahap yang boleh menjejas keselamatan makanan dan tidak selamat dimakan.

Ismail Sabri berkata antara syarat bagi memulihkan pengeksportan SBW ke China adalah keperluan mendaftar dengan CNCA dan menjalankan pengauditan selama 10 hari ke atas 15 loji pemperosesan dari 9 hingga 19 April tahun ini oleh juruaudit badan itu.

"Terdapat 15 loji lagi dalam permohonan kumpulan kedua yang akan dihantar kepada China untuk tujuan permohonan pendaftran CNCA.

"Pada masa yang sama, pihak DVS juga sedang menyediakan kertas kepada Jemaah Menteri bagi memaklumkan status pengeksportan dan senario industri SBW pada masa ini," katanya.

--BERNAMA

Tiada ulasan: