KERIAN - Akibat terdesak untuk mendapatkan wang, duit syiling pun sanggup dikebas penyamun yang memecah masuk sebuah kilang memborong padi di Taman IKS, Simpang Lima, di sini, kelmarin.

Pemilik premis, Kang Chee Peng, 54, berkata, dia menyedari premisnya dipecah masuk apabila melihat keadaan pejabatnya berselerak, tingkap terbuka dan terdapat kesan umpil di jerijinya ketika hendak memulakan operasi kilang sekitar jam 7 pagi.
Menurutnya, kabinet khas menyimpan wang syiling bernilai RM1,000 turut dipecahkan individu tidak bertanggungjawab.

“Apabila mendapati kabinet itu terbuka,  saya segera memeriksa wang syiling yang disimpan di dalamnya, namun segalanya lesap berserta sebuah komputer riba.

“Setiap hari sebelum meninggalkan pejabat, saya sentiasa mengunci kabinet itu kerana menyimpan dokumen penting dan barangan berharga lain seperti komputer riba serta sejumlah wang tunai untuk kegunaan harian,” katanya sewaktu ditemui Sinar Harian, di lokasi kejadian semalam.

Kata Chee Peng, dia menyimpan wang dalam bentuk syiling kerana menyangka tidak menarik perhatian penyamun, namun jangkaannya meleset.

Jelasnya, sewaktu meninggalkan premis kilangnya pada Selasa lalu, pengawal keselamatan yang diupahnya  tidak dapat bertugas beberapa hari kerana mengambil cuti sakit.

"Jadi, saya terpaksa meminta bantuan seorang pekerja warga asingnya menanggung tugas pengawal keselamatan pada hari kejadian sementara menunggu pengawal lama pulih.

“Berdasarkan penjelasan pekerja saya, kejadian berkenaan berkemungkinan berlaku selepas jam 12 tengah malam setelah pekerja yang menanggung tugas pengawal keselamatan itu mengakui tertidur sekitar waktu itu disebabkan keletihan bekerja di siang hari," katanya.

Chee Peng berkata, lebih 1o tahun kilang ini beroperasi, kejadian pecah masuk ini merupakan kali pertama berlaku dan dia berazam untuk lebih berhati-hati dalam menyimpan barangan berharga.

Susulan kejadian itu, Chee Peng membuat satu laporan polis di Balai Polis Simpang Lima dan berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes kejadian dan siasatan sedang dijalankan.

sinar/-