12 Syaaban 1434 H. [MOD] -
Zulkifli Yahaya, | 21 Jun 2013 |
Mata masyarakat dunia kini tertumpu pada Syria. Perkara besar yang berlaku di Syria ialah keganasan regim Basyar Al-Assad membunuh ribuan rakyatnya sendiri. Ada sumber melaporkan jumlah kini melepasi 200 ribu.
Basyar berjaya memecahkan rekod keganasan bapanya Hafiz Al-Assad. Dalam konflik berdarah di Hama pada tahun 1982 yang berlaku selama 27 hari regim Hafiz mengorbankan hampir 46 ribu penduduk.
Pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat sendiri itulah sebenarnya peristiwa besar. Peristiwa yang melatari dan menghiliri kemelut itu seperti Hezbullah, Iran, Syiah, Amerika, Israel hakikatnya bukan perkara untuk difokuskan di kala nyawa rakyat sendiri tidak dapat dipertahankan oleh kerajaan yang sepatutnya melindungi rakyat.
Mengapa sanggup membunuh rakyat sendiri untuk mempertahankan kuasa?Tanpa rakyat tiada ertinya kuasa. Itu persoalan yang ditimbulkan oleh golongan rasional dan berakal. Namun orang yang tamakkan kuasa seringkali hilang akal. Regim Pol Pot di Kemboja membunuh lebih sejuta rakyatnya, sebahagian besarnya terdiri dari bijak pandai lantaran Pol Pot tidak mahu golongan yang lebih pandai darinya akan menguasai kerajaan.
Zaman Firaun, bayi yang baru dilahirkan mestilah jangan lelaki. Kerana ada Ahlulnujum diraja beritahu, orang yang akan mencabar kuasa Fiaraun ialah Nabi Musa. Maka Firaun mengarahkan mna-mana bayi lelaki yang muncul hendaklah dibunuh. Jika semua bayi lelaki dibunuh, yang tinggal hanya perempuan, mana nak bersambung zuriat selepas itu? Peraturan Firaun adalah gila namun orang yang terdesak pertahankan kuasa akan buat apa saja kerja gila.
Kezaliman terhadap rakyat di Syria disemarakkan apabila sekumpulan kanak-kanak menjadikan dinding sekolah mereka tempat mengutuk kerajaan Basyar Al-Assad. Apabila sampai ke pengetahuan regim Basyar, 28 kanak-kanak ditangkap tentera regim Basyar dan didera sedahsyatnya sehingga ada yang mati. Kemarahan rakyat marak dengan pantas. Mereka hanya mampu marah tanpa senjata, dijadikan pula mangsa keganasan Basyar. Keganasan terhadap rakyat semakin merebak dengan meluas ke seluruh negara. Peristiwa itu bukanlah permulaan keganasan tentera Syria. Sejak regim Asad lagi mereka sudah mengganas terhadap rakyat.
Bezanya dahulu mereka mengganas kerana keangkuhan tetapi kini mengganas kerana ketakutan. Semua tahu bahawa dunia Arab diledakkan oleh kebangkitan rakyat sehingga kerajaan yang dilihat gagah perkasa jatuh satu demi satu. Basyar ketakutan, tak mahu senasib dengan Zein El-Abidin Hosni Mubarak dan Muammar Ghadafi. Kebangkitan rakyat mesti dikekang dengan apa cara sekalipun.
Senario yang sama dapat dilihat pada semua kerajaan yang berkuasa terlalu lama. Mereka akan lakukan apa saja, di luar kerasionalan manusia, asal dapat pertahankan kuasa. Macam BN di Malaysia juga!
Kepincangan demokrasi di negara ini bukan perkara baru. Sudah lebih separuh abad. Semasa Almarhum Ustaz Fadzil Noor menjadi Presiden PAS, beliau pernah diajukan cadangan supaya parti-parti pembangkang memboikot saja pilihanraya. Biar dunia tahu kepincangan demokrasi di Malaysia.
Jawab Ustaz Fadzil, kalau di negara demokrasi lain pemulauan pilihanraya oleh pembangkang akan memberi pukulan hebat untuk parti yang memerintah kerana ia melibatkan maruah kerajaan. Soalnya, kata Ustaz Fadzil, BN mana ada maruah. Pemboikotan pilihanraya tidak akan beri apa-apa kesan. Malah BN mungkin akan lebih gembira kerana dapat menang percuma.
Adakah Basyar Al-Asad merasa tertekan dengan kutukan dunia terhadap keganasan yang mereka lakukan terhadap rakyat sendiri? Jawapannya, sama macam BN, regim Basyar tidak akan rasa apa-apa kerana yang penting ialah akibatnya mereka dapat pertahankan kuasa.
Laporan perihal demokrasi Malaysia yang pincang menjadi sebab BN berjaya mengekalkan kuasa untuk kali ke 13 tersiar seantero dunia. Dunia tahu bahawa BN menang dengan undi pos, media berat sebelah, BN salahguna jentera kerajaan, BN beli undi guna duit rakyat dan BN menang dengan sokongan 47 peratus berbanding Pakatan 51 peratus - namun mereka hanya perlu buat pekak badak dan menebalkan kulit muka kepada masyarakat dunia.
Sekarang, selepas menang tipis secara kotor dalam PRU13 BN mengambil beberapa langkah untuk menyempitkan lagi ruang demokrasi. Akhbar Harakah, Suara KeADILan dan Roket dihadkan penyebaran. Khabarnya media maya akan turut alami sekatan kerajaan. Pejuang jalanraya menuntut demokrasi adil mula terima tekanan. Malaysia mungkin kembali ke era Mahathir di zaman 'diktator'nya. Adakah BN tidak rasa bersalah untuk melakukan itu semua terhadap rakyat? Jawapan yang sama kalau soalan itu diajukan pada regim Basyar Al-Asad.
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan