10 Julai 2013

Jiwa tenteram jika sentiasa ingati Tuhan

1 Ramadhan1434 H. [MOD] -
 
Firman Allah SWT : “Orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah, hati menjadi tenteram”. (Surah Ar-Ra'd ayat 28)

Imam Assyaukani di dalam tafsirnya, Fathu Qadir, membuat huraian bahawa orang yang beriman itu akan tenteram jiwanya bila mereka mengingati Allah SWT.
Iman adalah satu-satunya jalan untuk kita mengenali dan mencapai keredaan Allah SWT. Ia juga menjadi bekalan kepada kita untuk menuju ke alam akhirat.

Sebagai manusia biasa, kita tidak mampu menanggung penderitaan di atas jalan menuju ke syurga dan tidak pula kita sanggup melawan nafsu syahwat yang mengheret kita ke neraka kecuali dengan keimanan kerana kekuatan inilah yang akan mengubah penderitaan menjadi kesenangan dan membuat kita sanggup menanggung dan berhadapan ujian menuju ke jalan Allah SWT.

Dengan iman inilah yang akan mencipta kekuatan rohani. Ia juga mencetuskan kecintaan kita kepada ibadat sehingga ia menjadi suatu keperluan yang menggembirakan kita. Sebenarnya, iman bukan sahaja jalan menuju kebahagiaan akhirat saja, malah ia juga adalah jalan kebahagiaan di dunia seperti impian setiap orang.

Kesenangan hidup yang dicapai manusia dewasa ini sebenarnya tidak kurang bahkan mungkin lebih seperti yang pernah dicapai oleh manusia sebelum ini. Ia memberi manusia segala kemewahan di dunia tetapi tidak dapat memberi ketenangan hati.

Namun demikian, melalui iman ia dapat memotivasikan manusia ke arah kebaikan, membenci kejahatan dan memenuhi hatinya dengan kerinduan untuk bertemu dengan Allah SWT.

Keadaan seperti inilah yang memberikan kuasa dan keupayaan kepada manusia untuk berada di tingkat yang tinggi mengatasi tingkat naluri biasa. Ia boleh memberi kemampuan kepada pemuda untuk mengawal hawa nafsunya seperti Nabi Yusuf AS yang lebih menyukai penjara daripada terjatuh ke lembah kemaksiatan.

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: 
Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. (Surah Yusuf, ayat 33)
Iman beri kesabaran 

Begitu juga ketika kita dituntut untuk berkorban maka iman akan memberikan kesabaran agar berserah diri kepada Allah SWT seperti kesabaran Nabi Ismail AS ketika ayahnya Nabi Ibrahim berkata kepadanya:
Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!. Dia (Ismail) menjawab, Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu, InsyaAllah engkau akan mendapatiku termasuk orang yang sabar. (Surah As-Saffat, ayat 102)

Dalam konteks hari ini, pemimpin dan pihak berkuasa undang-undang tanpa henti berusaha mengikat masyarakat dengan hukum dan peraturan yang dicipta oleh mereka menggunakan akal sendiri.

Bagaimanapun, mereka terlupa manusia hanya akan patuh jika diikat dari dalam hatinya bukan dari luarnya. Jika tidak, peraturan dan undang-undang akan gagal dan tidak akan memberi sebarang kesan kepada mereka yang sedang dikuasai oleh hawa nafsu.

Kehidupan masyarakat rosak apabila iman dipinggirkan dan syirik menguasai kehidupan sehingga mereka menjadikan sebahagian sembahan yang lain selain dari Allah SWT. Antara contoh yang dipaparkan di dalam al-Quran ialah kisah Namrud dan Firaun.

Masih banyak contoh manusia yang membuat pengakuan mengenai dirinya mengaku sebagai Tuhan meskipun mereka tidak menyatakannya melalui kata-kata yang jelas. Tetapi tindak tanduk dan peri lakunya menggambarkan hal tersebut.

Mereka ini menundukkan hamba Allah dan menjadikan mereka sebagai hambanya. Mereka memerintahkan agar mereka dipatuhi dan manusia mendengar setiap ketetapan hukum antaranya menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal.

Mengangkat seseorang sebagai pembuat ketetapan hukum lalu membuat ketetapan mengikut kehendaknya boleh menghalal dan mengharamkan adalah termasuk jenis penyembahan dan syirik. Pelbagai bentuk penyembahan berlaku di sepanjang zaman dan ia berlaku di tengah-tengah kehidupan manusia.

Islam datang membebaskan manusia dari segala bentuk kepincangan ini dengan membebaskan mereka dari segala bentuk syirik serta memuliakannya dengan iman sehingga kehidupan manusia menjadi bermaruah, jiwa menjadi bebas dan mampu memimpin manusia bergerak ke hadapan.


Tiada ulasan: