1 Ramadhan1434 H. [MOD] -
BEIJING 8 Julai - Bekas Menteri Kereta Api China, Liu Zhijun hari ini dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan, sekali gus menjadi pegawai tertinggi yang dihukum kerana rasuah sejak negara ini dipimpin oleh pemimpin baharu yang berikrar mahu membersihkan pemerintahan Parti Komunis.
Zhijun, 60, yang pernah digelar bapa rangkaian kereta api laju China, didapati bersalah menerima rasuah dan menyalahgunakan kuasa oleh sebuah mahkamah di Beijing, lapor agensi berita Xinhua.
Rakaman televisyen kerajaan menunjukkan defendan yang berkaca mata dan memakai jaket hitam berdiri tanpa sebarang perasaan di kandang perbicaraan dengan diapit oleh dua anggota polis.
Zhijun dipecat sebagai Menteri Kereta Api pada 2011 selepas lapan tahun memegang jawatan itu berhubung skandal rasuah dilaporkan bernilai 800 juta yuan (RM418 juta).
Dia didakwa dan didapati bersalah menerima rasuah sebanyak 64.6 juta yuan (RM33.8 juta) untuk membantu 11 orang mendapatkan tender dan kenaikan pangkat, menyalahgunakan kuasa, menyebabkan kerugian besar kepada aset awam, serta mencabul hak dan kepentingan negara dan rakyat, lapor Xinhua.
Zhijun dijatuhi hukuman mati yang ditangguhkan selama dua tahun," kata seorang pegawai mahkamah kepada AFP melalui telefon.
Mengikut undang-undang China, hukuman mati boleh dikenakan ke atas pesalah rasuah dalam kes melebihi 100,000 yuan (RM52,251) dan penangguhan hukuman mati biasanya diringankan menjadi penjara seumur hidup.
Mahkamah dalam pada itu mengarahkan semua harta peribadi Zhijun dirampas selain menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun secara berasingan kerana penyalahgunaan kuasa, tambah Xinhua. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan