21 Ogos 2013

CCRIS: Masa depan anak muda Malaysia terus kelam

14 Syawal 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily,21 Ogs 2013

KUALA LUMPUR: Kerajaan mula gundah dengan sistem pendidikan yang dirasakan gagal dalam melahirkan modal insan yang sewajarnya memberikan pulangan kepada hasil produktiviti negara. 

Maka pendidikan akhirnya diniagakan, pekerjaan terus diswastakan kepada tenaga kerja asing, sementara peminjam bagi sebuah keperluan pendidikan terpaksa hidup dalam beban hutang dan diancam masa depan dengan CCRIS. 

“Kehidupan mereka daripada dulu tidak pernah terjamin. Masa depan anak muda Malaysia akan terus kelam,” ujar Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis), Muhamad Azan Safar (gambar) dalam kenyataan kepada Harakahdaily. 

Berikut kenyataan penuh beliau.

Saya meneliti kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Datuk Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan II berkaitan peminjam PTPTN ingkar disenarai dalam CCRIS dan saya melihat bahawa ini adalah bukan satu usaha yang baik diperingkat kerajaan untuk menggalakkan pembayaran hutang oleh peminjam PTPTN.

Saya menyedari hakikat setiap hutang mestilah dilangsaikan oleh mereka yang berhutang namun dalam konteks hutang PTPTN ia perlu diklasifikasikan dalam kategorinya yang tersendiri. 

Ini adalah kerana hutang yang terpaksa mereka iaitu rakyat tanggung ialah hutang untuk menunaikan sebuah kewajipan dan keperluan yang kerajaan tidak mampu berikan kepada mereka. 

Pendidikan sewajarnya menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memastikan ia dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat dalam sesebuah negara. 

Bahkan saya tegaskan pendidikan merupakan agenda kebajikan terbesar yang harus dilunaskan oleh pihak pemerintah kerana pendidikan pasti akan mendatangkan pulangan yang baik kepada kerajaan dan meningkatkan produktiviti negara. 

Menyenaraikan peminjam PTPTN ke dalam CCRIS di kala pekerjaan yang tidak pernah dijamin kepada lepasan IPTA/IPTS, apatah lagi keperluan sara hidup yang makin tinggi oleh pihak kerajaan hanya menjadikan kerajaan sebagai ‘along berlesen’ bahkan memberikan tekanan kepada anak muda lepasan universiti dari sudut mental dan perasaan. 

Mereka baru ingin memulakan kehidupan baru sebagai graduan universiti tetapi dikejar pula oleh pemiutang dengan ancaman CCRIS. 

Kerajaan harus memandang pendidikan ialah sebuah pelaburan jangka panjang yang bakal dinikmati negara. 

Hasil produktiviti negara akan semakin meningkat seiring dengan ramainya mahasiswa yang bergraduasi daripada universiti. 

Gamis sentiasa berpendirian bahawa pendidikan ialah kebajikan yang harus diberikan percuma kepada rakyat kerana setiap yang bergraduasi tidak akan pernah mendatangkan kerugian kepada negara.

Apa bezanya, kerajaan sanggup membelanjakan jutaan ringgit bagi setiap projek untuk meningkatkan mutu tenaga kerja profesional dan atlet sukan kerana yakin ia akan memberikan pulangan kepada produktiviti negara dengan mereka yang mengikuti sistem pendidikan yang disusun kerajaan Malaysia hari ini yang juga bertujuan meningkatkan hasil produktiviti negara melalui aset modal insan yang dilahirkan dari universiti tanah air?

Melainkan kerajaan sendiri sudah tidak lagi meyakini dengan sistem pendidikan yang dirangkanya sendiri. 

Kerajaan mula gundah dengan sistem pendidikan yang dirasakan gagal dalam melahirkan modal insan yang sewajarnya memberikan pulangan kepada hasil produktiviti negara. 

Maka pendidikan akhirnya diniagakan, pekerjaan terus diswastakan kepada tenaga kerja asing, sementara peminjam bagi sebuah keperluan pendidikan terpaksa hidup dalam beban hutang dan diancam masa depan dengan CCRIS. 

Kehidupan mereka daripada dulu tidak pernah terjamin. Masa depan anak muda Malaysia akan terus kelam.




Tiada ulasan: