21 Ogos 2013

AES: Berapa kos pampasan kerajaan perlu bayar?

14 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS meminta agar kerajaan mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar kepada dua syarikat swasta yang mengendalikan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), Beta tegap Sdn Bhd dan ATES Sdn Bhd jika kerajaan berhasrat mengambilalih sistem tersebut.


Jelas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar lagi, selain jumlah pampasan yang akan dibayar, kerajaan juga perlu mendedahkan perjanjiaan yang telah ditandatangani sebelum AES dilaksanakan.



"Untuk mengambil alih AES sudah pasti satu bayaran pampasan yang tinggi perlu diberikan kepada kedua-dua syarikat pengendali tersebut.



"Kita minta kerajaan mendedahkan jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh kerajaan jika pengambilalihan tersebut dilaksanakan, selain itu juga kita turut mengesa agar kandungan perjanjian didedahkan untuk pengetahuan umum," jelasnya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (Kase).



Mahfuz dalam masa yang sama memberitahu keputusan itu juga turut membuktikan kerajaan tidak cekap serta menunjukkan mereka tidak membuat kajian sepenuhnya pelaksanaan AES.



"Saya lihat kerajaan sebelum ini tidak mengkaji terlebih dahulu apa impak sebenar jika ia diberikan kepada syarikat swasta terutama kesan dari sudut kewangan dan kerugian yang akan dialami.



"Kita dari Pakatan Rakyat dari awal lagi membantah pelaksanaanya terutama jika dilihat dari sudut tekanan yang diberikan kepada pemandu yang diperah poket mereka untuk kayakan syarikat swasta serta menjadi sumber kewangan negara," kata beliau kepada Harakahdaily.



Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga turut mempersoalkan kenyataan kerajaan sebelum ini mengatakan pelaksanaan AES akan mengurangkan jumlah kemalangan apabila melihat jumlah angka pada Ops Selamat yang dilancarkan pada 1 hingga 15 Ogos lalu telah mencatatkan 258 kes kemalangan maut iaitu meningkat sebanyak 14.2 peratus berbanding 226 kes tahun lalu.



Sementara itu Penasihat Undang-Undang Kase, Zulhazmi Shariff mengesa agar kerajaan menghentikan serta merta pelaksanaan AES sehingga selesai kajian oleh Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh majlis tindakan Ekonomi Negara.



Malah katanya lagi, kerajaan juga perlu memulangkan ke semua bayaran yang telah dibuat oleh mereka yang dikenakan saman serta membatalkan saman-saman yang telah dikeluarkan sejak 22 September sehingga sekarang.

Harakahdaily/-


Tiada ulasan: