01 August 2013

Kuala Brang catat kos petisyen paling tingggi, RM150,000

23 Ramadhan 1434 H. [MOD]
KUALA TERENGGANU: Petisyen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Kuala Brang mencatat rekod kos petisyen paling tinggi apabila pempetisyen dikenakan kos RM150,000.



Hakim Mahkamah Pilihanraya Kuala Terengganu, Datuk Mariana Yahya menolak petisyen yang dibuat oleh seorang pengundi di kawasan itu, Ahmad Zamani Yusof.

Mahkamah menganugerahkan kos sebanyak RM50,000 dibayar kepada setiap respondan petisyen ini iaitu Adun Kuala Brang, Tengku Putera Tengku Awang, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Pegawai Pengurus pilihan raya DUN ini.

Sebelum ini, hakim yang sama menganugerahkan hanya RM30,000 kepada wakil rakyat PAS dari Dun Teluk Pasu Ridhuan Hashim dan Rantau Abang, Alias Harun.

Dalam petisyen itu, petisyen BN terhadap mereka ditolak oleh mahkamah yang sama.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS Muhyidin Abdul Rashid kalah kepada Tengku Putera dengan majoriti 449 undi di Dun Kuala Brang.

Sebelum ini, rekod kos petisyen dicatat oleh calon PKR untuk parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, apabila dikenakan kos RM120,000.

Ekoran itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang dibuat dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Semalam Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu membangkit isu ini dalam sidang medianya.

(Mohamad Sabu dan rakan-rakannya dalam sidang media semalam)

"Kes-kes pengendalian pilihan raya semacam ada pengarahan. Ia diselesaikan tanpa perbicaraan dan kos yang dituntut mahkamah amat luar biasa yang dikenakan ke atas petisyen dari PAS dan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat," kata Mohamad Sabu dalam sidang media itu.

Ekoran itu, beliau mewakili PAS melahirkan rasa pelik dengan kepincangan yang berlaku sedangkan sebelum ini pihak SPR dan kerajaan berkata, mana-mana yang tidak berpuashati dengan perjalanan pilihan raya ini boleh membawanya ke mahkamah.

"Jangan salahkan rakyat jika ada persepsi di kalangan mereka mahkamah sekarang telah kembali ke zaman Dr Mahathir dulu yang boleh ditentukan keputusannya dan berlaku beli belah hakim yang menyebabkan rakyat tidak mendapat keadilan sebenarnya," tambah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dalam sidang media yang sama.

Beliau bimbang, selepas protes kepada SPR, rakyat akan buat protes pula di depan Istana Keadilan kerana tidak berpuashati dengan pengadilan kes petisyen pilihan raya ini.

No comments: