01 Ogos 2013

Pemandu van mati ditembak

23 Ramadhan 1434 H. [MOD] -

Ada tiga kesan tembakan pada perut, pinggang

Parit Buntar: Seorang pemandu van kilang mati ditembak ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di persimpangan Jalan Permai Utama berdekatan Taman Seri Semarak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, mangsa, N Jeevandran, 26, yang tinggal di taman berkenaan maut di tempat kejadian dengan tiga kesan tembakan iaitu di perut dan pinggang.

Mangsa yang juga bekerja sambilan memasang khemah ditemui mati dalam keadaan terlentang di tepi jalan selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian ditembak sebaik tiba di persimpangan berkenaan.

“Tembakan mengenai perut dan pinggang mangsa menyebabkan mangsa terjatuh daripada motosikalnya.

Mati tempat kejadian

“Mangsa mati di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk membabitkan kes jenayah mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan dipercayai baru dibebaskan daripada tahanan Disember tahun lalu.

“Polis menemui tiga kelongsong peluru di tempat kejadian. Polis masih mengenal pasti motif kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terima panggilan

Sementara itu, bapa saudara mangsa yang mahu dikenali sebagai Ajamanikam, 60, berkata beliau difahamkan anak saudaranya itu keluar dari rumah selepas menerima panggilan daripada seseorang yang memintanya berjumpa di satu tempat.

Malam Ahad lalu, seorang lelaki maut dan dua lagi rakannya parah ditembak dalam kejadian di Kampung Simee, di Ipoh, ketika mangsa minum bersama rakan lain di sebuah restoran.BH/-

Tiada ulasan: