13 September 2013

13 bantah angkat sumpah MB dipenjara dua tahun

7 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -

  • Tiga belas orang yang dijatuhkan hukuman maksimum penjara dua tahun dan denda RM5,000 dihantar ke Penjara Tapah selepas Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar menolak permohonan untuk menangguhkan hukuman yang bermula hari ini.


    Semua mereka dijatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 145 Kanun Keseksaan selepas didapati bersalah kerana meneruskan perhimpunan haram walaupun diarahkan supaya bersurai pada 6 Februari 2009 di hadapan Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Perak empat tahun lalu.
    Ia adalah hari sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru selepas tiga ADUN Pakatan Rakyat beralih menyokong BN.

    perak mb ubudiah mosque bn takeover 060209 02Menurut peguam Augustin Anthony, pihaknya akan memfailkan rayuan untuk menangguhkan hukuman di Mahkamah Tinggi Taiping seawal-awalnya Selasa minggu depan selepas Hakim Norsalha Hamzah menolak permohonan mereka pagi tadi.

    "Ada di antara OKT (orang kena tuduh) merupakan penghidap kanser dan ibu tunggal," katanya kepadaMalaysiakini.

    Turut sama bertindak sebagai peguambela adalah Aminuddin Zulkifli dan Zamri Ibrahim.
    Sementara itu, Bernama melaporkan Hakim Norsalha Hamzah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah manakala pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka setelah meneliti serta menimbang kesemua keterangan termasuk hujahan kedua-dua pihak.
       
    Bad Latif Mansor, 47, Suhana Abdullah, 49, Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 38; Mohd Faiz Mohd Arshad, 26; Zulhaizam Zulkifli, 29 ; Isha Riduan Ishak, 59; Adi Hilmee Mohd Nasir, 44; Yusoff Jaafar, 48; Idris Mohd Thaib, 48; Mohamad Nazeer Hameed, 48; Khairul Azmi Hassan Basri,48; Mohd Hasri Ismail, 48; dan Mohamed Ismail S.M Abdul Kadir, 47, didapati bersalah menyertai perhimpunan haram itu pada pukul 3.30 petang, 6 Feb 2009 semasa istiadat pelantikan dan angkat sumpah jawatan menteri besar Perak.
       
    Hakim Norsalha memerintahkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini selepas menolak permohonan peguam Augustine Anthony yang mengetuai pasukan lapan peguam mewakili kesemua tertuduh, bagi penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menetapkan penjara lima bulan jika gagal membayar denda itu.
       
    Mereka didakwa mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
       
    Dalam penghakimannya, Hakim Norsalha beliau berkata hukuman yang dijatuhkan mahkamah adalah demi kepentingan dan ketenteraman awam serta institusi diraja selepas turut mengambil kira rayuan kedua-dua pihak.
       
    "Ini sebagai satu pengajaran dan keinsafan kepada semua pihak dan mahkamah mendapati ia satu kesalahan serius," katanya.
       
    Terdahulu, Augustine memohon mahkamah menggunakan budi bicara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 294, Kanun Prosedur Jenayah dengan mengambil kira fakta sebelum menjatuhkan hukuman kerana ini merupakan kesalahan pertama mereka.
       
    Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud berkata hukuman setimpal perlu dikenakan kerana kes itu telah mengambil tempoh hampir lima tahun yang melibatkan perbelanjaan serta masa mahkamah.

    "Apa yang berlaku semasa kejadian adalah keadaan huru-hara kerana menentang satu proses perundangan, menimbulkan keadaan tidak aman dan banyak kerosakan.

    Seksyen 145 dilihat lebih serius sebab itu ayat yang digunakan dalamnya adalah "...shall be punish...", oleh yang demikian tidak timbul Seksyen 294 wajar diguna pakai," katanya.
       
    Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Changkat Jering, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, yang juga Menteri Besar Perak semasa pakatan pembangkang menerajui pentadbiran negeri selama 11 bulan selepas pilihan raya
    umum ke-12 turut hadir di mahkamah bagi mengikuti kes itu.
       
    Beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham dan Pesuruhjaya PAS Perak Abu Bakar Hussain serta sejumlah penyokong PAS turut hadir di perkarangan mahkamah.

    Malaysiakini/-

No comments: