7 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
ZAMBOANGA 12 Sept. - Tentera Filipina hari ini menggempur anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari dua arah selepas kumpulan itu menyerang bandar kedua di selatan negara ini.
Menurut tentera, kumpulan bersenjata MNLF menyerang kedudukan tentera di pinggir bandar Lamitan, pulau Basilan, awal hari ini, menyebabkan sekurang-kurangnya tiga anggotanya maut, sementara sembilan yang lain cedera.
Timbalan Datuk Bandar Lamitan, Roderick Furigay berkata, lima orang dilaporkan hilang dan dua lagi cedera dalam serangan oleh MNLF itu.
Seorang Gabenor wilayah, Mujiv Hataman pula berkata, serangan itu bagaimanapun dapat ditangkis.
Pulau Basilan terletak kira-kira dua jam lebih perjalanan menaiki bot dari bandar Zamboanga, lokasi kira-kira 180 anggota MNLF bertempur dengan tentera sejak Isnin lalu.
"Kami percaya serangan terbaharu ini hanya sebahagian daripada taktik mereka untuk cuba mengalihkan perhatian tentera," kata jurucakap tentera wilayah, Kolonel Rodrigo Gregorio.
Katanya, dua lagi kumpulan gerila yang mempunyai kaitan dengan MNLF, turut terlibat dalam pertempuran di Basilan.
Sejak anggota MNLF melancarkan serangan ke atas bandar Zamboanga empat hari lalu, bandar itu kini lumpuh dengan kebanyakan penerbangan dan perkhidmatan feri dihentikan.
Lebih 15,000 penduduk pula melarikan diri dan terpaksa berlindung di kompleks sukan serta sekolah.
Sekurang-kurangnya 12 orang maut sejak ketegangan itu meletus dengan Presiden Benigno Aquino III telah mengarahkan pegawai kanan Kabinet serta Ketua Turus Tentera untuk memantau krisis tersebut. - AGENSI/AFP
1 ulasan:
Semua ini adalah berpunca dari tamaknya kedudukan dan jawatan, khasnya oleh Nur Misuari, Pengerusi MNLF. Beliau yg gagal membentuk wilayah autonomi utk penduduk Islam Bangsa Moro semasa rundingan damai MNLF dan kerajaan Filipina pada 90an, dimana Indonesia menjadi orang tengah, skrg nampak bahawa perundingan di antara MILF (pecahan dari MNLF) dan kerajaan Filipina, dimana Malaysia sebagai orang tengah, akan berjaya membentuk satu wilayah autonomi yg lebih jelas dan betul-betul memenuhi citarasa bangsamoro akan menyebabkan beliau terpinggir dari sebarang jawatan. Maka sebab itulah Nur Misuari ini mahu sangat perundingan ini gagal dng melancar serangan. Malaysia juga perlu bersiap sedia dng rapi kerana konflik ini akan melimpah ke Sabah kerana MNLF ini akan menuduh Malaysia adalah punca MNLF dipinggirkan dari penubuhan wilayah Islam bangsamoro...justeru MNLF akan membuat kacau bilau di Sabah selari dng tuntutan palsu mereka ke atas Sabah. Orang2 Sulu yg sudah lama bertapak di Sabah kini dijadikan perisik utk memudahkan mereka menyeludup masuk ke Sabah ditambah pulak oleh rasuah beberapa pihak tertentu yg memudahkan mereka ini memasuki Sabah!
Catat Ulasan