13 September 2013

Pemilihan: Garis panduan tidak sekat ahli PAS

7 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Garis panduan kempen pemilihan parti bukanlah bertujuan menyekat ataupun mahu mengongkong hak ahli dan perwakilan PAS.

Sebaliknya, Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, berkata ianya bertujuan melancarkan proses pemilihan supaya tidak timbul masalah pada kemudian hari.

"Pernah berlaku, ada bantahan selepas pemilihan selesai, yang mendakwa ada di kalangan perwakilan adalah bukan ahli di kawasan.

"Ini menyebabkan keputusan di kawasan tersebut tergantung," katanya kepada Harakahdaily.

Garis panduan yang disebut sebagai "Peraturan dan Tatacara Pemilihan" kata Mahfuz, bukanlah satu perkara baru dalam PAS kerana ia sudah sememangnya sedia wujud sebelum dari ini.

"Ia memang sudah sedia ada, cuma sekarang kita mahu kemaskini kerana ada beberapa perkara yang tidak begitu kemas sebelum ini," katanya lagi.

Bagi tujuan itu katanya, PAS telah mewujudkan satu jawatankuasa berhubung peraturan dan tatacara pemilihan yang diketuai Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi.

"Ada beberapa perkara lagi yang belum selesai, dan kita akan perincikan dalam mesyuarat Lajnah Politik sebelum dibawa ke mesyuarat PAS Pusat bulan depan," katanya lagi.

Mengulas suasana dan bahang pemilihan pada waktu ini pula, Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang ulasan.

Namun katanya, Jawatankuasa Pemilihan serta Jabatan Setiausaha Agung sedang dalam pemerhatian terhadap trend pemilihan kali ini.

"Saya percaya kepada tahap kematangan dan kebijaksanaan ahli PAS. Tanpa kempen menjaja kebaikkan calon pun, mereka sudah tahu untuk memilih kerana mereka sudah kenal pimpinan mereka.

"Dan garis panduan ini sebenarnya adalah untuk menghormati hak dan kebijaksanaan ahli supaya mereka boleh menilai tanpa dipengaruhi dengan elemen negatif," ujarnya.

Beliau dalam pada itu juga turut berharap agar kempen pemilihan kali ini kekal dalam suasana murni, harmoni dan mesra jamaah.

"Berkempen di media sosial tiada masalah selagi tidak bertentangan dengan nilai Islam.

"Perlu jaga etika dan akhlak jamaah kita, jangan sampai memburukkan orang," katanya.

harakahdaily.net

Tiada ulasan: