24 September 2013

Belanjawan alternatif PR tumpu tanggungjawab fiskal

17 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat dijangka membentangkan Belanjawan Alternatif 2014 yang tertumpu kepada tanggungjawab fiskal yang mapan melalui reformasi struktur belanjawan.

Ianya, seperti memperkukuhkan peraturan perbelanjaan dan pembelian aset kerajaan untuk mengurangkan pembaziran, ketirisan dan kos yang melampau; dasar inovatif untuk melebarkan sumber pendapatan diganding dengan pemantauan perbelanjaan untuk penjimatan serta mengutamakan perbelanjaan yang memberi manfaat maksimum kepada rakyat merentasi semua kementerian dan agensi kerajaan.


Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, mereka yakin dengan pendekatan reformasi fiskal mapan sebegini mampu memperkukuhkan ekonomi negara daripada kejutan pasaran dunia, sekali gus memperbaiki profil kewangan negara yang diukur oleh agensi-agensi penilaian kredit antarabangsa dan mengurangkan keresahan pelabur asing yang tidak akan membebankan rakyat atau mengugat kestabiloan ekonomi-makro negara.

"Kita mesti jujur dan berani mengaku bahawa masa depan perkembangan sekonomi negara bukan sahaja akan terjamin malah akan berkembang dengan teramat pesat jika Reformasi Politik dilaksanakan yang akan menjadi penimbang-tara dan penentu dasar-dasar ekonomi yang menguntungkan semua rakyat dan bukan segelintir rakyat yang terpilih," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pantai Nurul Izzah Anwar turut menggesa kerajaan mengusulkan sebuah Belanjawan yang jujur lagi berani memandangkan keadaan kewangan negara berada dalam keadaan yang lemah lagi rapuh dengan penurunan 'rating' antarabangsa oleh agensi penilaian kredit antarabangsa Fitch.

Katanya, kerajaan tidak boleh lagi berselindung di sebalik unjuran ekonomi yang sentiasa tersasar sehingga memerlukan perbentangan usul pembekalan tambahan setiap tahun menjadikan belanjawan kerajaan Persekutuan 'Belanjawan Tidak Jujur'.

Kerajaan dijangka akan membentangkan usul Perbekalan Tambahan 2013 ke atas perbelanjaan operasi yang bernilai RM15.014 billion yang terdiri daripada RM14.13 billion untuk perbelanjaan bekalan dan RM888.46 juta untuk perbelanjaan tanggungan.

Jelasnya, usul perbekalan tambahan ini akan memberi kesan negatif ke atas kesihatan perbendaharaan awam Malaysia dan pemantapan kedudukan fiskal dalam tempoh terdekat dan sederhana.

Katanya, perbelanjaan tambahan untuk 2013 ini berkemungkinan akan menyebabkan nisbah hutang awam ke KDNK akan melebihi sempadan 55 peratus (naik dari 45% pada julai 2009 dan naik dari 40% pada April 2008) di hujung 2013 selepas melangkaui 53.3% pada hujung 2012 iaitu rekod tertinggi di Asia Tenggara.

Tambahnya, risiko kemerosotan dana awam ini melalui defisit fiskal yang bertambah dan kenaikan berterusan hutang awam merupakan salah satu daripada kepincangan dalam pengurusan dan pentadbiran negara di bawah pemerintahan nBN.

"Kita mesti jujur dan berani mengaku bahawa negara memerlukan ‘Belanjawan Jujur dan Berani' yang akan membina daya saing, melebarkan sumber pendapatan negara, menstruktur ekonomi negara agar amalan kronisme, pembaziran dan pengherotan pasaran dengan kadar segera," katanya.

Harakahdaily

Tiada ulasan: