24 September 2013

Mampukah Jaafar, Lokman maju setapak lagi?

17 Dzulka'edah 1434 H. [MOD] -
ANALISIS Selepas pencalonan jawatan naib ketua Pemuda ditutup Sabtu lalu, persaingan sengit tetapi seimbang dilihat bakal berlaku antara empat exco pergerakan yang mempunyai kelebihan masing-masing untuk memimpin sayap itu.

Keempat-empat mereka menawarkan diri selepas penyandangnya Datuk Razali Ibrahim tidak mempertahankan jawatan nombor dua, sebaliknya mencuba nasib di peringkat Majlis Tertinggi.


Berdasarkan rekod terdahulu, dalam pemilihan 2008, tiga daripada empat calon - Jaafar Jamawi, Lokman Adam, dan Mohamad Iruan Zulkefli berjaya terpilih sebagai exco, dengan jumlah undi hampir seimbang.

Jaafar, 39, memperoleh 471 undi, Lokman (406 undi) dan Mohd Iruan (387 undi). Berbeza dengan Kairul Azwan, seorang lagi calon, beliau sebaliknya diberi kepercayaan oleh ketua mereka Khairy Jamaluddin, untuk mengetuai Pemuda Perak pada 2011.

Daripada aspek penglibatan, Jaafar yang juga ketua Pemuda Umno Tenom berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal - yang turut mempertahankan jawatan naib presiden pada pemilihan Oktober depan.

Dari sudut itu, Jaafar - graduan Sains Pertanian dari Universiti Putra Malaysia - dilihat dalam situasi strategik untuk menarik sokongan Pemuda akar umbi di luar bandar dan Sabah, antara negeri dengan keanggotaan Umno teramai. 

Pencabar terdekat Jaafar adalah Pengerusi Unit Pidato Pemuda Umno dan BN Lokman Nor Adam, 40. 

Lokman dilihat mampu memberi saingan sengit kepada Jaafar yang juga exco kebudayaan Pemuda Umno. Malah, dalam pemilihan lalu, perbezaan undi kedua-dua pemimpin itu hanya 19 sahaja.

Calon 'restu' Khairy?

Sumber-sumber Pemuda Umno berkata, mereka mengakui kekuatan Lokman apabila beliau dikatakan telah terlibat dalam 800 program Pemuda melibatkan ceramah, debat dan kursus kepada kira-kira 3,000 jentera Pemuda di seluruh negara.

Malaysiakini difahamkan bekas tahanan ISA dan bekas pemimpin Muda PKR itu telah turun dan mendapatkan maklum balas di 170 bahagian Pemuda di seluruh negara sebelum membuat keputusan mencuba nasib sebagai naib presiden.

Cakap-cakap menunjukkan kedua-dua tokoh itu kini bersaing hebat bagi meyakinkan sokongan kira-kira 75,000 undi Pemuda di seluruh negara.

Bagaimanapun, saingannya mungkin tidak semudah itu, apabila Jaafar dan Lokman perlu berdepan dua lagi pemimpin Pemuda berpotensi.

Mohamad Iruan, 36, terlibat dalam perjuangan parti itu bermula di peringkat peringkat akar umbi sejak 2001 sehingga dilantik sebagai pengerusi biro sosio etika sayap itu pada 2008.

Pada pemilihan lalu, ketua Pemuda Umno Lenggong itu mendapat jumlah undi terendah berbanding Jaafar dan Lokman. Beliau malah berada di kedudukan terakhir dari keseluruhan 20 jawatankuasa Pemuda yang terpilih bagi sesi lalu.

Bagaimanapun, Mohd Iruan kini bersandarkan ikrarnya untuk membawa suara akar umbi dan mahu memastikan peruntukan disalurkan terus kepada Pemuda Umno bahagian dan cawangan, bagi menghidupkan aktivisme di peringkat bawah.

Khairul Azwan, 39, pula dikhabarkan mendapat "restu" daripada Khairy, sekalipun ahli Parlimen Rembau itu menafikan mempunyai calon kegemaran.

Kemungkinan pecah undi

Khairul Azwan, lulusand Universiti Cardiff, Wales pula dilantik menerajui Akademi Pemuda Umno pada 2008 sehingga kini. 

Tiga tahun kemudian beliau dilantik lagi mengetuai Pemuda Umno dan BN Perak. Beliau juga setiausaha sulit kepada Menteri Besar Datuk Seri Zamdry Abdul Kadir.

Perak juga antara negeri mempunyai keanggotaan teramai selain Sabah dan Johor.

Memegang jawatan sebagai timbalan pengerusi Yayasan Bina Upaya (YBU) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Perak, beliau terlibat langsung dengan kebajikan dan sukan peringkat akar umbi rakyat di negeri itu.

Ia sudah pasti memberi kelebihan kepadanya untuk meraih sokongan, sekali gus memberi tentangan sengit kepada Jaafar dan Jamawi.

Berdasarkan profil peribadi dan kebolehan masing-masing, mampukah Jaafar dan Lokman - yang kini disebut-sebut bersaing rapat di depan - untuk menghadapi asakan calon yang juga bukan alang kepalang - Mohamad Iruan dan Khairul Azwan?

Atau, mungkinkah wujudnya 'perpecahan' undi antara Mohamad Iruan dan Khairul Anwar ekoran kedua-dua mereka berasal daripada Perak? Jawapannya hanya pada hari pemilihan 12 Oktober ini.


Malaysiakini

Tiada ulasan: