18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily, | 23 Okt 2013 |
KUALA LUMPUR: Negara Brunei Darussalam melakar sejarah apabila menggazetkan Akta Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah yang merangkumi pelaksanaan hukum hudud mulai semalam, lapor portal berita rasmi Kerajaan Brunei, Pelita Brunei..
Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah (gambar) mengumumkan perkara itu ketika bertitah pada Perasmian Majlis Ilmu 2013 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
"Dengan izin Allah juga, Akta Perintah itu mula digazetkan hari ini, 22 haribulan Oktober 2013, dan akan mula berkuat kuasa enam bulan selepasnya secara berfasa.
“Dengan ini Alhamdulillah, pada peringkat ini tanggung jawab kita di hadapan Allah telah pun tertunai,” titah Sultan Hassanal Bolkiah.
Baginda seterusnya bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana Majlis Ilmu pada kali ini diisi dengan acara-acara bersejarah yang berkaitan dengan Perintah Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah.
Menyentuh mengenai tema Majlis Ilmu tahun ini yang memaparkan "Undang-Undang Jenayah Syar'iah Menjamin Keadilan dan Kesejahteraan Untuk Semua", baginda bertitah, syariah yang datang daripada Allah memang wajar malah wajib diyakini sebagai mampu menjamin keadilan dan kesejahteraan bagi semua.
“Undang-Undang Allah disyari’atkan, bukanlah untuk kepentingan-Nya sendiri. Allah sama sekali tidak mempunyai apa-apa hajat, kerana Dia sendiri adalah Maha Sempurna. Yang berhajat itu ialah kita para hamba, termasuk hajat untuk dapat menikmati keadilan dan kesejahteraan,” titah baginda.
Baginda juga berharap rakyat dan penduduk Brunei sama-sama berdiri teguh dan berganding bahu dalam mendukung dan mengalu-alukan kelahiran Akta yang bersejarah ini.
Seperti Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993, Kanun Hukuman Jenayah Syar'iah Brunei 2013 hanya tertakluk kepada rakyat Brunei beragama Islam. Hukuman jenayah sivil juga dilaksanakan secara bersama di negara tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan