23 Oktober 2013

Tiada tindakan terhadap Husam - Presiden

18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-

KOTA BAHARU: PAS tidak mengambil sebarang  tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor, Datuk Husam Musa (gambar) yang mengkritik pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan dalam sidang Dewan Undangan Negeri, baru-baru ini.

Presiden PAS,  Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, teguran Naib Presiden PAS itu dilihat sebagai perkara  biasa sebaliknya diperbesarkan pihak media.

Tuan Guru Abdul Hadi menjawab soalan wakil media selepas mempengerusikan mesyuarat khas Lajnah Politik  PAS Pusat dan Dewan Harian PAS Pusat di JKR 10,  dekat  sini, semalam.

Husam turut hadir pada mesyuarat itu.

Hadir sama Timbalan Presiden, Mohamad Sabu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man,  Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof dan para pemimpin PAS Pusat dan negeri.

Pada masa yang sama Tuan Guru Abdul Hadi turut menyifatkan kritikan terbuka Husam dalam sidang Dun Kelantan baru-baru ini tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri.

PAS Pusat  juga, tambah beliau tidak menerima permohonan PAS Kelantan agar tindakan disiplin diambil terhadap Husam.

Dalam sidang Dun Kelantan 8 Oktober lalu, Husam yang juga bekas Exco kanan kerajaan negeri menarik perhatian ramai apabila mendedahkan beberapa tindakan kerajaan negeri yang disifatkannya tidak wajar dan menyimpang daripada konsep ketelusan.

Antara yang disentuh adalah permohonan aktiviti pembalakan Hutan Simpan Kekal Ulu Sat di Machang oleh sebuah syarikat melalui proses runding terus dan kenaikan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang diminta mengulas isu berkenaan, berkata mesyuarat turut mendengar penjelasan daripada Husam.

"Alhamdulillah mesyuarat berjalan dengan baik dan kita rasa beruntung kerana dapat penjelasan secara langsung daripada Husam dan kerajaan negeri," katanya.

Husam dalam jawapan ringkasnya kepada media selepas perjumpaan itu memberitahu berpuas hati dengan perbincangan yang diadakan.

“Perbincangan kita hari ini seperti antara keluarga bukan macam orang luar,” ujarnya
.

Tiada ulasan: