23 Oktober 2013

Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat


18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
IPOH: Jumlah mangsa banjir di daerah Manjung yang dipindahkan meningkat kepada 1,158 orang melibatkan 276 keluarga pagi ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis Mohd Asri Mohd Ariff berkata paras air banjir bagaimanapun mula surut kerana hujan berhenti sejak semalam. 
Proses pendaftaran pulang mangsa banjir sedang dijalankan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi melancarkan penghantaran jika keadaan semakin pulih. 

"Namun paras air di kawasan Taman Pantai Wang, Taman Bintang dan Padang Serai setakat ini menunjukkan sedikit saja penurunan dan penduduk yang tinggal di kawasan itu belum boleh dibenarkan pulang," katanya kepada Bernama hari ini.

"Jumlah mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Sungai Batu mencatatkan sebanyak 674 orang, Dewan Taman Bintang (203), Dewan Orang Ramai Kampung Tebuk Yan (83) dan Sekolah Agama Rakyat Padang Serai (129)," katanya.

Mereka terdiri daripada penduduk di Taman Bintang, Kampung Ujung Pasir, Kampung Pantai Tin, Taman Pantai Wang, Kampung Tebuk Yan, Parit Marikan dan Batu 13 Segari, kata Mohd Asri. 

Sementara itu, menurut portal banjir Majlis Keselamatan Negara di daerah Larut Matang, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan masih tidak berubah seperti semalam sebanyak 69 orang. 

Menurutnya 55 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan Batu Hampar dan 14 orang di Dewan Orang Ramai Padang Serai Dalam. 

Fenomena air pasang, peralihan monsun dan hujan lebat, menyebabkan berlakunya banjir itu di beberapa kawasan di Perak. - Bernama

Tiada ulasan: