23 October 2013

Saya sedia pikul tanggungjawab – Ustaz Azam


18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

Harakahdaily

JERAI: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat bersedia memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh parti serta meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abd Razak.

Beliau turut merasakan tanggungjawab tersebut adalah cukup berat dan besar apatah lagi untuk meneruskan kemenangan PAS selama lima penggal.

"Saya cukup terharu apabila diberi amanah oleh kepimpinan parti bagi mewakili PAS pada PRK kali ini.

"Ini merupakan satu amanah yang cukup berat untuk saya laksanakan apatah lagi untuk mengekalkan kemenangan yang diperolehi selama lima penggal.

"Namun tanggungjawab ini akan saya laksanakan sepenuh bagi memastikan segala amanah dan legasi Allahyarham Ustaz Azizan dapat kita teruskan," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Beliau yakin amanah yang diberikan itu bukan hanya dilakukan olehnya seorang diri tetapi turut dibantu oleh jentera parti serta penyokong peringkat kawasan serta seluruh negara.

"Walaupun amanah ini cukup berat tetapi saya yakin saya tidak keseorangan, saya dibantu oleh seluruh jentera sama ada PAS mahupun dari rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Sokongan dan dukungan khususnya dari suadara mara dan rakan taulan serta pelajar saya, maka saya pasti kemenangan ini dapat dikekalkan," kata beliau.

Azam memberitahu tapak yang didirikan oleh Allahyarham Ustaz Azizan sudah pun dibina oleh kepimpinan sebelum ini.

Justeru, ujarnya sesiapa yang memenangi Dun Sungai Limau ini akan meneruskan tanggungjawab yang ditinggalkan oleh pemimpin sebelumnya.

"Allahyarham Ustaz Azizan telah melaksanakan tanggungjawab pemimpin sebelum ini, selama lima penggal beliau berkhidmat dan sebagai asas untuk tidak menghampakan kerja-kerja beliau sebelum ini.

"Saya akan bekerja keras untuk memastikan pada 4 November nanti PAS terus menguasai Dun Sungai Limau.

"Saya menyeru seluruh pengundi yang berada dalam Dun ini atau di luar dapat membuat pilihan tepat supaya apa yang dilakukan oleh Azizan dapat kita teruskan," sambung beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Jerai
.

No comments: