23 Oktober 2013

Sg Limau: PAS berkempen secara damai

18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

JERAI: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkeyakinan parti itu akan memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau yang akan berlangsung pada 4 November nanti.

Namun katanya, walaupun berada dalam keadaan selesa PAS tidak boleh memandang mudah dengan Barisan Nasional (BN).

"Syukur segalanya telah selesai dan kita dapat pertembungan PRK kali ini hanya melibatkan PAS dan BN.

"Melihat kepada rekod yang lepas saya yakin PAS berpeluang memenangi kerusi Dun Sungai Limau, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh memandang mudah kepada BN.

"Ini disebabkan parti itu tidak pernah bertanding dalam pilihanraya dalam keadaan demokrasi yang adil, setiap kali berlaku pilihanraya kita bukan berdepan dengan BN tetapi seluruh jentera kerajaan," jelasnya pada sidang media sejurus selesai proses penamaan calon pagi tadi.

Beliau berkata, PAS akan berkempen secara damai pada PRK kali ini.

"Kita akan berkempen secara damai, dan jika BN juga berhasrat untuk berkempen secara damai kita sambut baik kerana itu yang seeloknya.

"Tetapi kita tidak boleh lupa Umno sebelum ini ada menyediakan pemuda tahan lasak yang akan membuat apa jua provokasi sepertimana yang diarahkan," sambung beliau.

Sementara itu, Pengarah Jawatankuasa Induk PRK Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar berharap Umno tidak perlu menggunakan khidmat mana-mana NGO yang selama ini telah terbukti menimbul ketegangan.

Katanya lagi, Umno juga perlu mengelak dari menggunakan isu-isu agama, perkauman dalam kempen mereka.

"Bagi memastikan suasana kempen berjalan dengan baik dan harmoni, saya nasihatkan Umno agar tidak lagi menggunakan NGO-NGO yang boleh menimbulkan ketegangan.

"Selain itu Umno juga perlu elak dari menggunakan isu agama mahupun perkauman, kita mahu semua pihak menghormati keadaan di Sungai Petani yang hidup dalam persekitaran ilmu agama," kata beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah.

Ditanya mengenai pengundi luar, Mahfuz mengharap majikan dapat memberi pelepasan cuti kepada pekerja yang mengundi.

Beliau berharap agar majikan tidak kira kerajaan mahupun swasta lebih peka kepada keadaan pekerja mereka untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

Ketua Pemuda PAS Jerai, Ustaz Mohd Azam Abd Samad dipilih mewakili parti dan Pakatan Rakyat pada PRK Dun Sungai Limau.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: