23 October 2013

Sistem syariah dan sivil berjalan seiring di Brunei


18 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,23 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah di Brunei tidak memansuhkan hukuman jenayah sivil di negara Melayu Islam Beraja itu, malah dua sistem keadilan itu berjalan seiring dan membawa cabaran yang unik, kata Peguam Negara Brunei Darussalam, Datin Seri Paduka Dayang Hayati Mohd Salleh(gambar).


Ketika  membentangkan kertas kerja bertajuk 'Kebolehlaksanaan Undang-Undang Sivil Berjalan Seiring Dengan Undang-Undang Jenayah Syar’iah' pada ceramah Majlis Ilmu 2013, di Dewan Persidangan Dua, Pusat Persidangan Antarabangsa, Bandar Seri Begawan, semalam, beliau berkata,  had umur bagi perlakuan kesalahan bagi Undang-Undang Jenayah Syariah adalah tujuh tahun.



Bagaimanapun kanak-kanak berumur tujuh tahun ke bawah akan hanya disabitkan kesalahan jika ia mempunyai kematangan yang mencukupi untuk memahami sifat dan akibat dari perbuatan jenayah yang dilakukan, lapor Pelita Brunei.



Menurut Dayang Hayati, semua prosedur jenayah  akan didengar di mahkamah terbuka kecuali bagi beberapa kes seperti  rogol dan sebagainya.



Proses pendakwaan, tambahnya dibuat pendakwaraya dan timbalan pendakwaraya dari Pejabat Peguam Negara yang turut menjalankan pendakwaan di Mahkamah Sivil.



Jelas beliau, pendakwa raya mempunyai kuasa di dalam perlembagaan dan tidak boleh dipersoalkan demi menjaga kepentingan awam dan tidak memihak kepada pihak tertentu.



"Bahagian Keadilan Jenayah, Pejabat Peguam Negara menjalankan pendakwaan dengan bekerja rapat dengan agensi penguatkuasaan seperti Biro Mencegah Rasuah, Polis Diraja Brunei, Imigresen, Kastam dan sebagainya," ujarnya.



Menyentuh aspek penyiasatan, Dayang Hayati berkata  penyiasatan dijalankan pegawai-pegawai agensi penguatkuasaan yang memiliki kuasa masing-masing dalam sesuatu tindakan yang dikeluarkan oleh mahkamah dengan melalui beberapa proses.



Peguam Negara Brunei itu turut menjelaskan kebolehlaksanaan dan proses penyelarasan  Undang-undang Sivil yang berjalan seiring dengan Undang-Undang Jenayah Syar’iah.



Beliau turut menyentuh kesalahan-kesalahan yang bertindih (overlapping) di bawah bidang kuasa kedua-dua Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil termasuk bagaimana penyiasatan, penelitian keterangan dan pendengaran kes-kes yang melibatkan kesalahan-kesalahan sedemikian boleh dilaksanakan.

No comments: