11 November 2013

Kamaruzaman mahu teruskan legasi Pemuda PAS


7 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kamaruzaman Mohamad berikrar akan meneruskan legasi, warisan dan tradisi Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) yang diasaskan kepimpinan terdahulu.

Bercakap kepada Harakahdaily, hari ini, Kamaruzaman yang menerima pencalonan bagi jawatan Ketua DPPM tersebut atas semangat fastabiqul khairat, iaitu berlumba-lumba untuk memberi sumbangan menegaskan beliau juga akan mempertahankan ketulenan dan keabsahan manhaj perjuangan Islam yang didukung PAS.

"Saya berjanji mempertahankan ketulenan dan keabsahan manhaj perjuangan Islam yang didukung PAS dengan gandingan mantap antara profesional muda, ulama muda dan aktivis muda, tanpa menolak perlunya agenda tajdid dan islah," tegas beliau.

Dalam masa sama, bekas Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan itu turut berikrar untuk meneroka ruang dan peluang baru untuk membawa Pemuda PAS mendepani cabaran semasa dan menguasai isu serta keperluan anak muda masa kini secara kolektif.

Bagi beliau, usaha tersebut perlu dilakukan secara berpasukan dengan rakan-rakan exco DPPM yang lain, bukannya perjuangan secara bersendirian.

Meninjau peluang yang diperolehi untuk memenangi jawatan tersebut, Kamaruzaman meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada perwakilan seluruh negara yang disifatkannya bijak dan matang untuk membuat pilihan.

"Saya tidak boleh mendahului takdir. Perwakilan pemuda dari seluruh negara adalah bijak dan matang untuk membuat pilihan. Jika dipilih, saya akan memikul amanah ini sebaik mungkin menepati piawaian kepimpinan Islam.

"Andai saya tidak terpilih, bukan bermakna karier saya berakhir, kerana penglibatan saya sejak 2006 bukan berasaskan karier tetapi ia adalah perjuangan yang wajib saya galas tatkala saya mengaku sebagai seorang muslim," tegas beliau.

Selain Kamaruzaman, dua calon lain, Suhaizan Kayat dan Zulhazmi Shariff turut bersedia untuk bertanding bagi jawatan tersebut setelah ia dikosongkan penyandangnya, Ustaz Nasrudin Hassan.
-Harakahdaily/-

No comments: