11 November 2013

Seorang Cedera Dalam Kejadian Tanah Runtuh Di Cameron Highlands


7 Muharram 1435H. [MOD] -



IPOH: Dua lelaki, seorang daripadanya cedera setelah terperangkap dalam sebuah bengkel kenderaan akibat tanah runtuh di Jalan Sultan Abu Bakar Brinchang dekat Cameron Highlands di sini Ahad.


Idris Munir, 43, cedera di kaki dan kini dirawat di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, Tanah Rata, manakala rakannya Mohd Norsofwa Abdul Wahab, 42, tidak cedera.
Seorang daripada mereka adalah pemilik bengkel itu.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Wan Zahari Wan Busu berkata ketika kejadian pada pukul 6.35 petang, kedua-dua lelaki berkenaan sedang berbual bersama tiga lagi rakan mereka di hadapan bengkel itu.
"Hujan lebat menyebabkan bukit berhampiran bengkel itu runtuh dan menghempap kedai. Tiga lelaki yang berada di hadapan bengkel sempat melarikan diri namun dua daripada mereka terperangkap dalam bengkel," katanya.
Beliau berkata kejadian itu juga menyebabkan beberapa kereta di dalam bengkel itu rosak.
Wan Zahari berkata anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands dengan bantuan anggota polis mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa.
"Kerja-kerja membersihkan kawasan bengkel itu sedang dijalankan bagi membolehkan kenderaan melalui kawasan itu," katanya. - BERNAMA

No comments: