11 November 2013

Kumpulan Baju Merah mula berarak di Thailand

7 Muharram 1435H. [MOD] -

ANGKOK 11 Nov. - Berpuluh-puluh ribu penyokong kerajaan yang dikenali sebagai kumpulan Baju Merah melakukan perarakan di sini hari ini, kata polis, iaitu penampilan pertama mereka semenjak berlaku tunjuk perasaan membantah rang undang-undang pengampunan.

Paparan televisyen memperlihatkan lautan manusia berbaju merah melaungkan slogan menyokong Perdana Menteri Yingluck Shinawatra serta parti pemerintah, Puea Thai.

Pejabat polis kebangsaan berkata, kira-kira 45,000 anggota kumpulan Baju Merah menyertai perarakan tersebut, dengan 13,000 penunjuk perasaan antikerajaan melakukan bantahan di kawasan lain, beberapa kilometer daripada Dewan Parlimen.

Tiga kumpulan antikerajaan di Thailand meningkatkan tunjuk perasaan di seluruh negara ini bertujuan untuk menggulingkan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.

Akhbar Bangkok Post melaporkan tunjuk perasaan itu ditingkatkan ketika parti pemerintah, Parti Pheu Thai bersama-sama tiga parti komponen dalam kerajaan perikatan, semalam bersetuju untuk tidak meneruskan pembentangan semula rang undang-undang pengampunan jika Dewan Senat menolaknya esok. - AFP



Tiada ulasan: