11 November 2013

PAS ucap terima kasih kepada Karpal Singh


7 Muharram 1435H. [MOD] -
Harakahdaily,11 Nov 2013
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh yang telah tampil menjelaskan kenyataannya yang sebenar berhubung seruan agar pendaftaran PAS dibatalkan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, penafian Karpal itu bukan sahaja telah merungkai kekeliruan, malah telah mendedahkan pihak mana sebenarnya cuba memecah belah hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat.

"Dalam penjelasan itu, Karpal secara jelas mengiktiraf PAS yang menyedari dan meraikan masyarakat majmuk dengan penubuhan Kongres Penyokong bukan Islam PAS sebelum pilihan raya umum pada 2004 dan turut bersetuju meletakkan calon bukan Islam atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2013.

"Beliau juga tidak menyeru agar PAS dibubarkan pendaftaran, dan ini telah diputar belit oleh media. Kita berterima kasih kepada Karpal," katanya kepada Harakahdaily.

Beliau mengulas penjelasan Karpal yang tampil sendiri merungkai kekeliruan berhubung laporan media yang memetiknya sebagai berkata "menyeru pendaftaran PAS dibatalkan".

Sebaliknya, pemimpin veteran DAP itu berkata  beliau menyatakan bahawa PAS mempunyai kesedaran mengenai keperluan masyarakat majmuk di negara ini dengan mengadakan Kongres Penyokong bukan Islam.

Ia tidak sama seperti Umno, MCA dan MIC, parti yang berasaskan perkauman dan perlu dibatalkan pendaftarannya.

Mahfuz sebelum ini antara yang mahu Karpal sendiri membuat penjelasan terhadap laporan media berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Mahfuz sekali lagi menggesa Karpal agar mengambil tindakan undang-undang terhadap media terbabit yang telah memutar belit kenyataan beliau.

"Kita mahu media yang sering memutar belit kenyataan pemimpin Pakatan Rakyat ini diberi pengajaran.

"Karpal seorang peguam, dan senior dalam politik negara ini tentu lebih maklum dengan permainan media ini, dan dia wajar mengambil tindakan saman terhadap media terbabit," katanya.

Tiada ulasan: