11 November 2013

Isteri Sempat Suruh Mohd Raffli Gantung Langsir Sebelum Ditembak

7 Muharram 1435H. [MOD] -

Isteri Mohd Raffli, Rosmahawani menitiskan air mata ketika memeluk Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Iskandariah (kiri) selepas suaminya mati ditembak dari jarak dekat di hadapan rumah mereka.
KUANTAN: "Abang gantunglah langsir," itu kata-kata terakhir Rosmahawani Abd Wahab, 41, isteri Ketua Penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Mohd Raffli Abdul Malek kepada arwah sebelum suaminya mati akibat terkena tiga das tembakan di rumah mereka di Indera Mahkota 2 dekat sini Ahad.

Mohd Raffli, 49, meninggalkan seorang isteri dan empat anak iaitu Mohd Asyraff, 22, Mohd Abrar, 20, Mohd Amin, 15, dan Mohd Akashah, 12.
Menurut Rosmahawani, ketika kejadian mereka berdua sedang melakukan kerja-kerja rumah dan beliau menyuruh arwah menggantung langsir sebelum Mohd Amin memaklumkan ada orang ingin berjumpa bapanya di luar rumah.
"Anak saya ketika itu dekat luar, kemudian memberitahu, ada orang nak jumpa Abah, Ustaz (Mohd Raffli) yang sedang menggantung langsir kemudian keluar untuk menemui orang tersebut.
"Saya dengar orang beri salam dan sempat mendengar Ustaz berkata kepada orang yang ditemuinya itu, 'tak nak masuk rumah dulu ke,' sebelum terdengar bunyi dua das tembakan dan anak saya menjerit, 'Abah kena tembak, Allahuakbar!" katanya ketika mengimbas kembali kejadian itu kepada pemberita di rumahnya, Ahad.
Dalam kejadian itu, mangsa ditembak seorang daripada tiga suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Wira Aeroback putih.
Ketika ditanya sama ada arwah pernah menerima ancaman atau ugutan daripada pihak tertentu yang mempunyai kaitan dengan tugas beliau sebagai penguatkuasa JAIP, Rosmahawani berkata setakat dalam pengetahuannya, Mohd Raffli tidak pernah mendapat sebarang ugutan atau ancaman daripada sesiapa.
"Malah saya dah tanya anak buah beliau sama ada arwah pernah menerima ugutan tetapi merekapun berkata tidak ada," kata suri rumah itu.
Ditanya sama ada beliau atau arwah mengenali suspek, Rosmahawani menjawab tidak namun memaklumkan dia perasan kereta yang dinaiki suspek sering berlegar-legar di kawasan perumahan mereka dua tiga hari kebelakangan ini.
Dalam pada itu, kes berkenaan mendapat perhatian Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar, yang sudi mencemar duli melawat keluarga mangsa di sini lewat petang Ahad.
Mohd Raffli, 49, dipercayai sedang mengendali tiga kes besar berkaitan jenayah syariah di Pahang iaitu ajaran sesat Tuhan Harun, gerakan Syiah dan operasi kelab malam. - BERNAMA

No comments: