KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas barangan tiruan bernilai RM7,127,032 daripada 671 tindakan kes yang diambil di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 bagi tempoh Januari-Oktober tahun ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata barangan yang dirampas itu termasuk rokok, arak, ubat-ubatan, barangan makanan, pakaian dan barangan keperluan diri.
"Tahun lepas, 934 tindakan kes berkaitan barangan tiruan diambil melibatkan penyitaan barangan bernilai RM14,543,805.
"Kementerian sentiasa berusaha dan memberi perhatian serius bagi membanteras penjualan barangan tiruan di pasaran," katanya menjawab soalan Senator Rohani Abdullah di Dewan Negara hari ini.
"Kementerian sentiasa berusaha dan memberi perhatian serius bagi membanteras penjualan barangan tiruan di pasaran," katanya menjawab soalan Senator Rohani Abdullah di Dewan Negara hari ini.
Rohani ingin tahu langkah kerajaan membendung lambakan barangan tiruan yang dijual secara meluas dan tindakan penguatkuasaan yang diambil pada 2012 dan 2013.
Selain itu, Ahmad Bashah berkata kementerian juga mewujudkan penguatkuasaan sempadan dengan kerjasama pihak Kastam Diraja Malaysia untuk menangani kemasukan barangan tiruan dari negara luar.
Dalam perkembangan lain, beliau menjelaskan pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) perlu memenuhi kriteria tertentu sebelum layak menyertai Skim Dana Pembiayaan Harta Intelek (SDPHI).
Beliau berkata ini termasuk IKS berkenaan hendaklah ditubuhkan dengan minimum modal berbayar RM100,000 dan memiliki harta intelek yang telah berdaftar dengan MyIPO.
"Jika syarikat mempunyai dua atau lebih harta intelek, sekurang-kurangnya satu harta intelek perlu berdaftar dengan MyIPO," katanya menjawab soalan Senator Datuk Muhammad Yusof Husin.
Muhammad Yusof ingin tahu bilakah 'cagaran harta intelek' boleh digunakan untuk memohon SDPHI dan prosedur yang perlu dipenuhi pengusaha IKS untuk mendapatkan pembiayaan itu.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan