18 December 2013

Tol naik: Kerajaan lemah buat perjanjian berat sebelah

14 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta berhenti memberi alasan dan terus membebankan rakyat kerana kelemahan mereka sendiri.


Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar bahawa tol mesti dinaikkan kerana ia sebahagian daripada perjanjian dengan syarikat konsesi menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab kerajaan.

Beliau berkata, kerana kelemahan kerajaan yang membuat perjanjian yang berat sebelah, rakyat yang harus menanggung beban kenaikan tol.

"Satu kenyataan yang menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab pihak kerajaan kerana hakikatnya Wahid harus tahu bahawa perjanjian yang dikatakan tidak dapat dielakkan ialah perjanjian yang dibuat kerajaan.

"Kelemahan kerajaan membuat perjanjian berat sebelah akhirnya membebankan dan menganiayai pengguna lebuh raya. 

“Kerajaan tidak boleh terus memberi alasan kerana kelemahan mereka. Akhirnya apa pun kelemahan kerajaan rakyat yang kena tanggung," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga berkata, kenaikan tol boleh dielakkan kerana kerajaan mempunyai kuasa untuk berunding dengan syarikat konsesi yang dikendalikan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Sepatutnya kerajaan masih boleh mengelak kenaikan tol khususnya tol Plus yang paling lama. Plus di bawah pengendalian GLC United Engineer Malaysia (UEM).

"Apabila dikendalikan oleh GLC, apa masalah kepada perjanjian? Adakah kerajaan tidak boleh mengkaji atau merombak semula perjanjian yang dibuat kerajaan oleh pengendali dengan pengendaili sebelum ini? 

"Seperti yang dilakukan kerajaan yang mengambil alih sepenuhnya syarikat yang mengendalikan AES dan wujudkan satu GLC baru, kerajaan boleh buat perkara sama dengan konsesi lebuh raya," katanya.

Tiga pemegang konsesi lebuh raya terbesar iaitu Projek Lebuhraya Utara Selatan (Plus), Prolintas dan Gamuda dikuasai oleh GLC.

Plus dikuasai Khazanah dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Prolintas anak syarikat milik Permodalan Nasional Berhad (PNB). 

Menurut Mahfuz lagi, Pakatan Rakyat sudah membuat persediaan sebelum ini apabila memasukkan agenda memasuhkan tol dalam Buku Jingga.

Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13), Pakatan Rakyat berjanji akan mengambil alih semua konsesi tol yang meraih untung terlampau besar tetapi membebankan rakyat, bermula dengan konsesi Lebuh Raya MEX jika berjaya menawan Putrajaya.

Sebab itu Pakatan Rakyat menawarkan menawarkan keistimewaan untuk memansuhkan tol dalam Buku Jingga.

"Ini bermakna kita sudah mempunyai persiapan yang cukup untuk memastikan pengambilalihan pemegang saham konsesi berlaku tanpa membebankan pengguna lebuh raya," katanya.


Harakahdaily

No comments: