29 Disember 2013

BN paksa rakyat masuk ekonomi menjunam

25 Safar 1435H. [MOD] -
TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Kerajaan BN menaikkan harga asas seperti minyak, tarif elektrik, tambang pengangkutan awam seperti LRT, Monorail, KTM dan bas dan tahun hadapan kemungkinan besar tol.

Ini menyebabkan kos pengangkutan pekerja untuk berulang-alik ke kerja juga meningkat. Akibat itu, baki wang untuk kegunaan sendiri berkurang dan lebih teruk lagi harga barangan lain turut meningkat kerana peningkatan kos barangan asas.

Disebabkan tertekan, pekerja mengharapkan majikan memberikan kenaikan gaji untuk menampung kenaikan kos hidup.

Para majikan bimbang jika tidak memberikan kenaikan gaji, pekerja akan berhenti pekerja.

Kerana menaikkan gaji pekerja, kos perniagaan meningkat. Kerana kos pengangkutan dan tarif elektrik juga meningkat, maka keuntungan perniagaan berkurangan.

Akibat itu, majikan tidak dapat memberikan bonus sebagai satu langkah mengurangkan kos. Bukan itu sahaja, claim perubatan, OT dan kebajikan pekerja diterhadkan untuk memastikan perniagaan kekal untung.

Apabila keadaan memaksa, majikan terpaksa meningkatkan harga jualan mahupun servis yang ditawarkan. Namun, majikan menghadapi risiko hilang pelanggan kerana barangan dan servis yang lebih mahal.

Pelanggan di luar pula kekurangan duit kerana harga asas barangan meningkat. Kuasa membeli berkurangan mendadak kerana inflasi tinggi kerana harga barangan dan servis semakin mahal. Kitaran duit bertukar tangan semakin lambat. Maka, secara automatik, ekonomi tidak bergerak apabila eksport dan import semakin tidak rancak.

Dengan ini, rakyat memasuki satu ‘spiral’ atau pusingan ekonomi menjunam yang dahsyat.

Pekerja semakin tidak cukup duit belanja. Majikan tertekan menaikkan gaji untuk mengekalkan pekerja dan terpaksa menaikkan harga barangan dan servis kerana pelanggan semakin berkurangan.

Kerana pelanggan semakin berkurangan, untung perniagaan semakin berkurang. Akibat itu, kenaikan gaji pekerja tidak mampu diberikan lagi. Pekerja pula semakin tertekan kerana harga barangan dan servis semakin mahal. Keadaan menjadi lebih buruk apabila majikan tidak lagi menampung kerugian, maka pekerja terpaksa dilepaskan untuk mengurangkan beban perniagaan.

Maka di situlah bermula pengangguran kerana para majikan tidak mampu lagi mengambil jumlah pekerja seperti biasa.

Kerana untung berkurangan, maka jumlah pendapatan kerajaan juga berkurang kerana cukai keuntungan perniagaan semakin berkurangan kerana majikan tidak mampu mengekal keuntungan. Semakin rakyat tidak mampu membayar cukai kerana kurang pendapatan dan tingginya pengangguran, ini menyebabkan jumlah pendapatan kerajaan terus berkurang.

Kerajaan terpaksa meminjam, menjual aset atau menghabiskan duit rizab negara untuk menampung ekonomi.

Inilah pusingan ekonomi menjunam yang sangat dahsyat.

Tiada siapa yang untung daripada keputusan kerajaan menaikkan harga minyak, tarif elektrik dan kos pengangkutan awam dan tol selain IPP, TNB dan juga syarikat konsesi tol.

Apabila jumlah pendapatan kerajaan berkurang, apakah kerajaan sekali lagi akan meningkatkan harga barangan asas atau mengurangkan kos dan pembelanjaan untuk meningkatkan pendapatan?

Akibat rakyat marah, mungkin kerajaan pada masa itu akan mula cuba mengurangkan kos dan pembelanjaan semua kementerian termasuklah membekukan pemberian kontrak mewah, mengurangkan pembelian peralatan kerajaan tidak perlu, berkongsi kereta menteri, mengurangkan jumlah lawatan ke luar negara, memastikan pembelian tiket kapal terbang termurah, membatalkan majlis makan sempena mesyuarat, mengambil saranan laporan audit dengan serius, membatalkan pemberian cenderahati, T-shirt dan lain-lain sempena apa-apa program kerajaan, memotong elaun menteri kabinet dan sebagainya sebelum membuat keputusan menaikkan harga barangan asas seperti minyak, tarif elektrik dan kos pengangkutan awam.

Persoalannya mengapa kerajaan tidak mengambil langkah mengurangkan kos dahulu sebelum menaikkan harga barangan asas seperti minyak, tarif elektrik dan kos pengangkutan awam dan memaksa seluruh rakyat Malaysia memasuki pusingan ekonomi yang dahsyat ini?

Apabila keadaan ini berlaku, rakyat perlu bertanya apakah yang perlu dibuat untuk mengelakkan keadaan ini daripada berlaku? Sudahkah kita mengambil langkah untuk menyedarkan lebih ramai untuk membuat keputusan yang lebih bijak di PRU14 nanti?

Atau kita terus duduk merungut dan membiarkan perkara ini terus berulang dan berulang dan marah hanya ketika ia berlaku kerana sikap kita yang hangat-hangat tahi ayam dalam memerangi kemungkaran?

Secara lontaran peribadi untuk difikiran.

Tiada ulasan: