BANGKOK 28 Dis. - Situasi di Thailand dilihat semakin buruk selepas satu serangan bersenjata ke atas penunjuk perasaan antikerajaan awal pagi ini, menyaksikan seorang maut dan empat orang lain cedera.
Mangsa terbunuh yang merupakan seorang pengawal keselamatan yang bertugas mengawal lokasi penunjuk perasaan antikerajaan berdekatan Rumah Kerajaan di sini kira-kira pukul 3 pagi ini (4 petang waktu Malaysia).
Mangsa dikenali sebagai Jamrieng Jitwat, 31, dari wilayah Prachuab Khiri, Selatan Thailand.
Menurut saksi, ketika kejadian, mereka sedang tidur di khemah yang dibina berhampiran Rumah Kerajaan sebelum mereka terdengar bunyi tembakan kira-kira pukul 3.30 pagi waktu tempatan.
''Saya sedang tidur apabila saya tersedar mendengar bunyi beberapa tembakan. Saya rasa amat terkejut,'' kata seorang penunjuk perasaan berusia 18 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai 'Boy'.
Seorang lagi saksi berkata, tembakan itu mungkin dilepaskan dari sebuah kereta dengan kesan tembakan dapat dilihat pada dinding konkrit, sebuah generator dan khemah yang didiami mangsa.
Dalam pada itu, ketua tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha tidak menolak kemungkinan campur tangan tentera dalam konflik tersebut ketika ditanya media sama ada pasukan keselamatan tersebut akan melakukan rampasan kuasa.
Sementara itu, proses pendaftaran calon pilihan raya yang akan diadakan pada Februari ini tetap berlangsung hari ini walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand meminta agar pilihan raya tersebut ditangguhkan selepas kejadian keganasan di sini kelmarin.
Bagaimanapun, laman web akhbar Bangkok Post melaporkan, pendaftaran calon bagi lima wilayah di selatan negara ini tidak dapat dilaksanakan selepas penunjuk perasaan antikerajaan mengepung pusat pendaftaran calon.
Pesuruhjaya Pentadbiran Pilihan Raya Thailand, Somchai Srisuthiyakorn berkata, lima wilayah terbabit adalah Nakhon Si Thammarat, Chumphon, Surat Thani, Krabi dan Songkhla.
''Dewan pendaftaran di Chumphon dikepung oleh penunjuk perasaan yang turut memotong bekalan elektrik dan air sehingga mengakibatkan calon pilihan raya tidak boleh masuk,'' katanya. - REUTERS/BERNAMA/AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan