KAHERAH 28 Dis. - Seorang maut dan empat orang lain cedera serta dua buah bangunan Universiti al-Azhar di sini hari ini terbakar selepas pelajar institusi pengajian tinggi yang menyokong pergerakan Ikhwanul Muslimin bertempur dengan polis.
Jurucakap Kementerian Kesihatan Mesir, Khaled al-Khatib berkata, empat orang cedera selepas pelajar membakar sebuah bangunan di universiti tersebut.
Seorang aktivis Shaimaa Mounir berkata, Khaled El-Haddad terbunuh dalam kejadian tersebut namun tidak dapat dipastikan punca kematiannya adalah disebabkan dipukul atau terkena tembakan rambang.
Polis berkata, sebanyak 60 pelajar pro-Ikhwanul Muslimin ditahan kerana memiliki senjata patah dan bom petrol yang dipercayai digunakan untuk menggangu peperiksaan pertengahan tahun yang bermula hari ini.
Sementara itu, akhbar Al-Ahram melaporkan, pertempuran tersebut berlaku selepas pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata bagi menyuraikan pelajar pro Ikhwanul Muslimin yang cuba menghalang rakan-rakan mereka memasuki bangunan universiti untuk mengambil peperiksaan.
Penunjuk perasaan turut bertindak membaling batu ke arah polis dan membakar tayar kereta.
Liputan saluran televisyen tempatan menunjukkan kepulan asap keluar dari bangunan Fakulti Perdagangan dan bangunan Fakulti Pertanian.
Sejak kebelakangan ini, Universiti Al-Azhar yang merupakan pusat pembelajaran Islam terkemuka sering menjadi kawasan demonstrasi bantahan terhadap apa yang disifatkan sebagai 'rampasan kuasa oleh tentera' selepas penggulingan bekas Presiden, Mohammed Mursi.
Keganasan itu berlaku sehari selepas pertempuran antara penyokong pergerakan tersebut dengan pihak berkuasa di seluruh negara yang menyaksikan lima orang terbunuh.
Penyokong Ikhwanul Muslimin mengadakan perhimpunan di jalan raya semalam, selepas kerajaan melabelkan kumpulan tersebut sebagai pengganas. - REUTERS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan