29 December 2013

PAS sertai himpunan Turun

25 Safar 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS bersedia untuk bersama-sama menyertai Himpunan Turun yang akan diadakan menjelang tahun baru akan datang sebagai permulaan kepada siri-siri himpunan seterusnya. 
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli(gambar) melihat himpunan yang akan diadakan pada malam 31 Dis anjuran NGO Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun) itu bersesuaian dengan perjuangan Pakatan Rakyat.
Bercakap kepada Harakahdaily, Dr. Hatta yang juga Penyelaras Gabungan Memprotes Kenaikan Harga Minyak (Protes) menegaskan selepas Himpunan Turun itu, PAS akan terus menyokong mana-mana himpunan yang diadakan selepas itu, sekiranya bersesuaian dengan perjuangan PAS.

Sebagai contoh, katanya PAS akan sama-sama menggerakkan Himpunan Bantah GST yang dirancang diadakan pada Hari Buruh, 1 Mei akan datang.
"Selepas Himpunan Turun, kita akan ada pula Himpunan Bantah GST. Antara masa-masa tersebut, akan ada program-program yang diatur bersama Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu sebagai Penggerak Mobilisasi PAS dengan kerjasama NGO lain," tegas beliau.
Dalam pada itu, Dr. Hatta melahirkan rasa kesal dengan sikap pihak tertentu yang cuba melabelkan himpunan malam 31 Dis itu sebagai kononnya himpunan untuk menggulingkan kerajaan.
Biarpun tidak tahu-menahu sekiranya ada gerakan yang akan mengadakan himpunan sedemikian (guling kerajaan), Dr. Hatta berkata Pakatan Rakyat dan NGO Turun tiada kaitan dengan himpunan tersebut.
"Semua tahu, Himpunan Turun itu bertujuan untuk membantah pesta kenaikan barangan dan perkhidmatan.  Berhimpun secara aman. Tidak timbul isu guling kerajaan, bukan tujuan pun. 
"Jadi, janganlah kerajaan bersikap antagonistik sangat apabila rakyat berhimpun dengan aman. Kita hanya nak bersuara menyatakan bantahan sahaja selepas pelbagai cara kita lakukan bagi mengelakkan kenaikan kos hidup ini, sama ada melalui perbahasan parlimen, perbincangan, penyerahan memorandum dan sebagainya," tegas beliau.
Sehubungan itu, beliau yang berkemungkinan turut menyertai himpunan itu menyeru ahli-ahli PAS untuk bersama-sama menyertainya di Dataran Merdeka dengan suasana aman dan tenteram bagi memberi signal kepada kerajaan tentang kepayahan rakyat.Harakahdaily/-

No comments: