29 December 2013

China longgar polisi seorang anak

25 Safar 1435H. [MOD] -

SHANGHAI 28 Dis. - China hari ini melonggarkan syarat polisi seorang anak untuk satu keluarga dan memansuhkan sistem kem buruh yang diperkenalkan sejak sedekad lalu.

Kedua-dua keputusan itu diumumkan selepas kerajaan bersetuju untuk melaksanakan pembaharuan untuk satu dekad akan datang terhadap dasar negara itu, dalam satu mesyuarat Parti Komunis pada bulan lalu.

Di bawah polisi baharu itu, pasangan suami isteri dibenarkan untuk mempunyai dua anak jika seorang daripada mereka adalah anak tunggal.

Polisi seorang anak sebelum ini mensyaratkan hanya pasangan suami isteri yang kedua-duanya anak tunggal sahaja dibenarkan untuk mempunyai dua orang anak.

Perubahan polisi mengehadkan jumlah anak itu diambil selepas menimbulkan kebimbangan bahawa ia boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan generasi golongan tua yang tidak mampu menyara hidup mereka di negara itu.

Agensi berita Xinhua, Parlimen hari ini meluluskan polisi seorang anak baharu itu yang akan membenarkan kerajaan tempatan memutuskan tarikh pelaksanaannya.

Parlimen juga meluluskan pemansuhan sistem kem buruh yang diperkenalkan sejak 1957, yang membenarkan polis menempatkan pesalah jenayah ringan di kem buruh selama empat tahun tanpa perlu mendapatkan perintah mahkamah.

Pengkritik berkata, sistem kem buruh itu melanggar Perlembagaan dan sering digunakan terhadap aktivis politik dan pengikut kumpulan yang diharamkan, Falun Gong. - REUTERS

No comments: