18 February 2014

Hospital k'jaan sesak dengan kes denggi

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Orang ramai yang menghadapi masalah kesihatan yang tidak kritikal diminta mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berhampiran kawasan masing-masing bagi mengelak kesesakan di hospital-hospital kerajaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, dengan merujuk ke klinik-klinik kesihatan, pesakit akan menerima rawatan segera kerana Jabatan Kecemasan dan Trauma di beberapa hospital kerajaan kini sesak dengan kes demam denggi.
Beliau berkata, selain kes denggi, hospital-hospital kerajaan juga memberi keutamaan kepada kes-kes kritikal atau kecemasan seperti kemalangan atau serangan jantung.

"Kami faham musim penyakit denggi sedang meningkat jadi orang yang mempunyai demam biasa pun memilih hospital kerajaan untuk mendapatkan rawatan rapi.

"Namun, pihak kami menerima laporan bahawa lebih 30 peratus pesakit yang datang ke hospital kerajaan pada waktu malam untuk rawatan adalah kerana demam biasa," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau mengulas laporan media yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr S.Jeyaindran sebagai berkata lebih 2.3 juta pesakit mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma di hospital-hospital kerajaan dalam tempoh enam bulan pertama tahun lalu.

Dr Jeyaindran berkata, kajian mendapati lebih 70 peratus atau 1.6 juta kes adalah kes yang tidak kritikal dan mereka menyebabkan pesakit yang mengalami kecederaan serius perlu bersaing bagi mendapatkan rawatan.

Subramaniam berkata, orang ramai yang demam biasa boleh mendapat rawatan di klinik kesihatan di luar waktu pejabat kerana waktu perkhidmatan klinik kesihatan di seluruh negara dilanjutkan sehingga 10 malam.

Terdahulu, beliau merasmikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA) dan Majlis Sukan India Malaysia (MISC) di Kuala Lumpur.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan dan Presiden MIFA Datuk T. Mohan.

- Bernama

No comments: