18 February 2014

Kurang defisit: Teruskan program rasionalisasi subsidi

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
KUALA LUMPUR: “Saya menolak cadangan untuk meneruskan program rasionalisasi subsidi bagi memastikan sasaran defisit 3.5 peratus daripada KDNK tercapai pada tahun ini,” kata Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Zaharudin Muhammad.

Katanya, kerajaan tidak perlu mendabik dada dengan penurunan kepada 3.9 peratus defisit fiskal tahun 2013 berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012 kerana ia telah memaksa rakyat mengikat perut dengan siri-siri kenaikan barang kawalan sehingga mencatatkan peningkatan kadar inflasi 2.1 peratus.

Beliau menyatakan demikian merujuk kepada Laporan Ekonomi dan Kewangan Suku Keempat 2013 yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia bertarikh 12 Februari lalu.

Tambahnya, defisit fiskal yang berkurangan tersebut didorong oleh pengurangan perbelanjaan operasi kerajaan sebanyak 4.6 peratus berikutan emolumen dan subsidi yang lebih rendah di samping peningkatan pendapatan negara yang terhasil daripada cukai syarikat sebanyak 6.8 peratus dan pendapatan pelaburan yang tinggi.  

“Dengan kadar lebihan kewangan ini, maka saya ingin mengingatkan pihak kerajaan supaya bersikap pruden dalam mengurus pendapatan tersebut,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Sebagai contoh, kata beliau pada tahun 2011 dan 2012, kerajaan mencatatkan peningkatan hasil dari RM185.4 bilion kepada RM207.9 bilion.

Namun, katanya peningkatan hasil tersebut tidak mampu mengurangkan hutang kerajaan.

Sebaliknya, tambah beliau berlaku peningkatan perbelanjaan mengurus yang ketara khususnya bagi pembayaran emolumen dan subsidi.

“Oleh itu, sebelum kerajaan terus merasionalisasi subsidi sehingga menghimpit rakyat, maka saya sarankan agar Perdana Menteri menstruktur semula saiz agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperolehi, terdapat 8 suruhanjaya, 5 agensi pusat, 42 jabatan dan agensi, 5 badan berkanun dan 6 institusi yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat.

Menurutnya, merujuk kepada ringkasan anggaran jumlah perbelanjaan mengurus dan membangun bagi Jabatan Perdana Menteri sahaja bagi tahun 2014 mencecah RM16.4 bilion berbanding perbelanjaan sebenar tahun 2012 berjumlah RM13.7 bilion.

“Adakah pihak kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan perbelanjaan tidak perlu di bawah Jabatan Perdana Menteri terlebih dahulu?” tanya beliau.

Daripada aspek strukturnya, kata beliau mungkin terdapat beberapa agensi yang boleh dikecil dan digabungkan peranannya atau diserapkan kepada agensi yang lebih besar bagi mengoptimakan fungsi dan peruntukannya.

Beliau menambah, antara agensi yang boleh disemak semula seperti Lembaga Penasihat, Pejabat Penasihat Sains, Unit Inovasi Khas, Pejabat Urus Setia Bekas Perdana Menteri, Pejabat Seranta Felda, Unit Kawal Selia Felda dan Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak (Permata).

“Saya yakin jika Perdana Menteri mampu mengutamakan penjimatan dalam struktur kerajaan terlebih dahulu, maka sudah pasti ia lebih mampu mengawal perbelanjaan kerajaan seterusnya mampu mencapai pengurangan defisit yang lebih besar menjelang 2020 nanti,” katanya.

No comments: