18 February 2014

Kenakan tindakan tegas terhadap Kassim Ahmad

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Tidak ada umat Islam yang tidak marah apabila Dr Kassim Ahmad menyentuh sensitiviti agama Islam apabila mendakwa umat Islam terlalu mendewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua serta rambut bukanlah aurat wanita. Beliau turut menyentuh bahawa golongan ulama telah diseleweng melalui amalan “kasta paderi” iaitu mereka (golongan ulama) melantik diri sendiri sebagai pentafsir agama kepada umat Islam.

Program anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana dan bertempat di Putrajaya dengan menampilkan Dr Kassim Ahmad, individu yang dilabel sebagai anti hadis dan menjulang personaliti tersebut ke kedudukan tertinggi. Entah apa jasanya sehingga pemikiran beliau diseminarkan dan diwacanakan dengan beliau sendiri dijemput memberikan ulasan. Agak menghairankan bagaimana program sebegini boleh mendapat kelulusan, mendapat tempat teristimewa di kawasan Putrajaya dalam keadaan program agama yang lain diburu dan dipantau ketat. Mengapa tiada tindakan sebelum program dijalankan bagi memastikan tiada pandangan yang pelik dan mengelirukan umat Islam dilontarkan ketengah masyarakat.

Pastinya kenyataan Dr Kassim mengundang kemarahan jutaan umat Islam di negara malah di seluruh dunia. Nabi Muhammad SAW adalah insan kesayangan Allah SWT, kecintaan umatnya pada hari ini sehingga disambut kelahirannya setiap tahun. Mencintai Rasulullah SAW adalah ibadah, menjamin syafaat baginda, serta mendapat kecintaan juga daripada Allah SWT. Rasulullah SAW adalah insan maksum yang boleh dicintai dan diagungkan, kerana ia sebahagian daripada rukun Iman dan syahadah umat Islam. Mengguris peribadi Rasulullah SAW bererti mengisytiharkan perang ke atas umat Islam.

Beliau juga gagal memahami bahawa para ulama adalah pewaris Nabi SAW. Ketiadaan Nabi SAW menjadikan para ulama sebagai galang ganti yang memberi tunjuk ajar kepada masyarakat. Memusuhi ulama (yang benar) bererti juga memusuhi Islam dan memusuhi Rasulullah SAW. Apakah kerana beliau gagal menempatkan diri bersama para ulama maka para ulama pula perlu dibenci?

Selain itu, saya menganggap Dr Kassim terlalu dangkal dalam soal hukum asas berkaitan agama Islam. Rambut menjadi topik perbincangan dengan kenyataan bahawa rambut bukanlah aurat wanita. Elok juga beliau menyatakan di manakah bahagian wanita yang dianggap sebagai aurat dan bukan aurat, dan saya kira ribuan ulama dan cendekiawan Islam bangkit untuk ‘sekolahkan’ beliau dengan ilmu asas Islam.

Saya amat bersetuju agar tindakan keras diambil terhadap penganjur manakala Majlis Fatwa Kebangsaan perlu mengeluarkan hukum yang jelas terhadap kenyataan Dr Kassim Ahmad. Masyarakat perlu dijernihkan pemikiran daripada kenyataan songsang sebegini manakala beliau sendiri perlu diberikan status supaya masyarakat tidak terkeliru dan terus berpegang dengan ajaran Islam sebenar sebagaimana difahami dan diajarkan oleh agama Islam.

Dr Riduan Mohd Nor ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat

No comments: