18 February 2014

Nostalgia 40 tahun demonstrasi Baling 5 April

18 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: PAS Kedah akan menganjurkan himpunan 'Nostalgia 40 tahun Demonstrasi Baling' pada 5 April depan di Baling bagi mengenang kembali apa yang dialami oleh masyarakat sebelum ini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Mahfuz Omar pada sidang media semalam berkata, 40 tahun lalu rakyat Baling telah hidup dalam kemiskinan, namun senario yang dihadapi oleh rakyat sebelum ini tidak berubah apabila rakyat tetap miskin akibat daripada kos sara hidup yang semakin meningkat.

"40 tahun lalu rakyat hidup dalam kemiskinan, namum sehingga sekarang setelah 40 tahun keadaan itu tidak berubah, kemiskinan terus melanda penduduk di sana akibat daripada kos sara hidup yang semakin meningkat," jelasnya di Pejabat Agung PAS.

Tambah beliau lagi, kemiskinan bukan hanya melanda penduduk di sekitar Baling sahaja tetapi ia berlaku di seluruh negara.

"40 tahun tanpa ada sebarang perubahan kepada rakyat, kesempitan hidup terus dihadapi oleh mereka dan seluruh rakyat negara ini.

"Sepatutnya 40 tahun rakyat menikmati kesenangan tapi ternyata itu semua meleset apabila tekanan sara hidup terus dihadapi mereka, kerajaan tidak pernah merancang satu insentif jangka panjang dalam memberi kesenangan kepada rakyat.

"Apa yang dilakukan kerajaan hanya menaikan harga barang dan kadar kos, demi kepentingan pihak tertentu," sambung beliau.

Ketua Penerangan PAS Pusat itu juga turut memberitahu pihak penganjur akan mengumpulkan ke semua individu yang terlibat dalam demonstrasi Baling sebelum ini termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Kita akan pastikan individu yang terlibat pada demostrasi Baling akan turut sama dalam himpunan nostalgia itu.

"Ini sebagai simbolik kita untuk mengenangkan apa yang berlaku untuk tatapan seluruh rakyat negara ini," jelas beliau.

Mahfuz yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena itu menasihati kerajaan agar lebih peka dengan kesempitan hidup yang  dihadapi oleh rakyat agar peristiwa demonstrasi itu tidak lagi berulang.
Harakahdaily/-

No comments: