10 Februari 2014

Lemas dalam kolam renang rumah MB S'gor

10 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas terjatuh ke dalam kolam renang di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semasa sambutan Tahun Baharu Cina kelmarin.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Azisman Alias berkata dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, Amanda Dany Shah, 7, dipercayai bersendirian di kawasan  itu tanpa pengawasan ibu bapanya.

Beliau berkata ibu bapa mangsa, yang juga katerer bagi majlis itu, sedang sibuk menguruskan penyediaan makanan dan tidak menyedari ketiadaan anak mereka.

"Polis terima panggilan daripada seorang wanita kira-kira 4.30 petang menyatakan seorang budak lemas dalam kolam renang itu.

"Difahamkan mangsa meninggalkan ibu bapanya dan berjalan bersendirian ke kolam renang di tingkat atas kediaman itu. Tiada maklumat sama ada dia bersama orang lain atau tidak ketika itu," katanya ketika dihubungi semalam.

Azisman berkata Amanda lemas kerana jatuh ke dalam kolam renang untuk orang dewasa.

Pasukan paramedik cuba menyelamatkannya namun dia meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang pada kira-kira 7 malam.

Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut, katanya.

- Bernama

Tiada ulasan: