10 Februari 2014

Gembiranya Bersama PAS

10 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -
Selain daripada nikmat Iman dan Islam yang merupakan anugerah Allah kepada hambanya, maka  nikmat  berjamaah  adalah yang ketiga. Banyak manusia leka dan lalai tidak sedar bahawa berjamaah juga merupakan tuntutan di dalam Islam. Bukan semua orang dapat menikmati kelazatan berjamaah. Sabda Rasulullah SAW bermaksud " Wajib atas kamu berjamaah"  Maksud hadis yang lain " Berjamaah itu rahmat, berpecah merupakan musibah"

Gembiranya bersama PAS kerana dasar yang diperjuangkan oleh PAS ialah Islam seperti yang tercatat di dalam Perlembagaan PAS,  perkara 3 Dasar PAS ialah Islam. Dasar yang tidak pernah dimamah usia, sentiasa relevan dalam semua keadaan, samaada waktu senang atau waktu susah, waktu menang atau waktu kalah. Dasar inilah yang menyebabkan PAS sentiasa segar di dalam mana- mana keadaan. 

Dasar ini menyebabkan pendokongnya merasa perlu beramal dengan Islam dalam semua keadaan. Mungkin sebelum menyertai PAS, peribadinya tidak berapa elok dari segi penghayatan Islam. Keadaanya sudah berubah apabila ia bersama dengan PAS. Perasaan malu datang dengan sendiri kerana panji yang dia pegang ialah Islam.

Jika sebelumnya aurat tidak terjaga apabila bersama dengan PAS, secara automatik ia merasa malu jika masih mendedahkan aurat. Berapa ramai di kalangan pimpinan dan ahli PAS telah berhenti merokok. Walaupun mereka ini berada ditahap perokok yang tegar. Mereka berhenti merokok bukan kerana kesihatan, tetapi kerana merasa malu jika masih merokok. Jika ada masih merokok mereka akan menyorok, ertinya tidak merokok di hadapan orang ramai.

Bersama PAS masa tidak terbuang dan sentiasa terisi dengan program yang bermanfaat. Perkara ini amat terasa, terutama bagi mereka yang pernah berada di dua zaman. Satu semasa sebelum bersama PAS, kedua selepas daripada menyertai PAS. Ertinya tidak ada kerehatan. Jika mereka yang bekerja di siang hari, malam ke kuliah di surau kemudian ke program parti.

Sehingga ada yang menjawab kita akan berehat di syurga nanti, itulah kerehatan yang sebenar bagi seorang hamba sebagai mana yang pernah dinyatakan oleh Imam Shafie. Maklumlah hari cuti am merupakan hari PAS. Sentiasa ruang dan masa disi dengan program yang membangunkan masyarakat. Malahan dianggap oleh ahli PAS sebagai satu hiburan hati dan satu kepuasan apabila dapat menyumbang kepada perjuangan PAS. Mereka gelisah dan tidak tenang hati jika tidak ada program. Inilah nikmat berjuang.

Bersama dengan PAS memberi ruang untuk mendekati ulamak muttaqin yang sentiasa berjihad di jalan Allah. Mereka tidak peduli keredaan manusia, yang dituntut ialah keredaan Allah. Mereka merupakan tonggak kejayaan PAS untuk menarik sokogan rakyat di peringkat akar umbi.

Banyak ijtihad politik seperti tahaluf siasi tidak akan berjaya tanpa restu daripada ulamak. Ulamak cuba menggali khazanah ilmu di zaman silam dengan dipadankan dengan situasi semasa. Daripada sejarah awal penubuhan PAS mempunyai kaitan dengan institusi ulamak dan pondok.

Tan Sri Sanusi Jonid bekas Setiausaha Agung Umno pernah mengungkapkan 3P ( Padi, Pondok dan PAS). Walaupun pondok bukan dikendalikan oleh PAS secara langsung. Namun pengajian yang diajar mempunyai persamaan dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS. Ulamak inilah yang banyak membantu PAS. Tokoh- tokoh ulama awal yang menggerakkan PAS di peringkat awal seperti Tuan Guru Haji Husin Rahimi Bunut Payung, Tuan Guru Haji Abd Ghani Kubang Bemban Pasir Emas, Tuan Guru Haj Hashim Pasir Tumbuh, Tuan Guru Haji Yahya Junid Padang Lumat Kedah, Tuan Guru Pak Man Bukit Besar, Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Husin Pokok Sena Seberang Perai, Tuan Guru Abd Samad Noh Padang Rengas dan lain-lain lagi.

Umno cuba untuk menaja ulamak supaya menyertai mereka, setakat hari ini masih gagal. Ulamak yang muttaqin tidak boleh berlakon dan berpura-pura di dalam kehidupan mereka. Mereka tidak boleh terima perjuangan Umno kerana kontra dengan ilmu yang mereka pelajari. Tambahan pula dari segi rekod, Umno hanya menggunakan ulamak ketika berhajat untuk melawan PAS, selepas itu mereka akan ditinggal begitu sahaja seperti habis madu sepah dibuang. Di dalam PAS jika ada ulamak yang mempunyai agenda peribadi bukan agenda ummah, secara automatik mereka akan terpelanting daripada saf kepimpinan.

Bersama PAS akan melebarkan kenalan di serata dunia. Dalam erti kata yang lain, penyokong PAS akan berada di semua tempat, di mana ada bulan di situ ada orang PAS. PAS menitik berat soal ukhwah, yang menjadi agenda penting di dalam tarbiah PAS. Ukhwah yang merentasi sempadan dan daerah memberi keseronokan kepada kita yang bersama dengan PAS ketika senang atau susah.

Pengalaman penulis sendiri, sewaktu penulis diarahkan bertukar daripada Institut Teknogi Mara (sekarang UITM) Shah Alam ke Melaka pada awal 1990. Ketika itu saya tidak mempunyai saudara mara yang terdekat untuk uruskan soal rumah dan kemudahan-kemudahan lain.

Tetapi alhamdulillah berkat bersama PAS perkara ini begitu mudah diselesaikan dengan bantuan sahabat-sahabat PAS Melaka. Begitulah juga menjadi kelaziman sebagai penceramah yang menjelajah ke seluruh pelusuk kampung, kadang-kadang kenderaan buat hal di tengah jalan. Maka ketika inilah bantuan sahabat PAS yang berdekatan akan membantu.

Memang terasa nikmat bersama dengan PAS, walaupun kadang-kadang memenatkan, namun inilah kemanisan perjuangan yang tidak dirasai oleh orang lain. Kemanisan yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit, pangkat dan harta. Jika hendak merasai nikmat maka marilah bersama dengan PAS.

*Penulis adalah Pengarah Jabatan Tarbiyah PAS Pusat merangkap Ahli Parlimen Bukit Gantang

Tiada ulasan: