10 Februari 2014

Orang nombor 3 PBB, Awang Tengah ganti Taib?

10 Rabiul Akhir 1435. [MOD] -

Mengambil kira seruan perpisahan Tan Sri Abdul Taib Mahmud supaya "Sarawak dipimpin orang Sarawak", adakah Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (Gambar) akan dipilih Taib bagi menggantinya sebagai ketua menteri pada hujung bulan ini?

Pemerhati politik melihat Awang Tengah sebagai calon paling cocok kerana beliau dikenali sebagai anti-Umno, mempunyai personaliti yang kuat dan telah diasuh Taib untuk mengendalikan kementerian Sarawak dengan wang jutaan ringgit seperti Kementerian Kemudahan Awam, Kementerian Pembangunan Perindustrian, dan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar II.

Selepas Taib, Awang Tengah dilihat sebagai menteri paling berkuasa di Sarawak.

Kementerian Pembangunan Perindustrian, yang mempunyai pelaburan dalam Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE) sebagai fokus utamanya, telah menarik lebih RM24 bilion nilai pelaburan.

Semua itu dilihat sebagai hasil daripada usaha Awang Tengah dan SCORE juga adalah projek buah tangan Taib.

Awang Tengah juga berurusan dengan sumber hutan dan tanah, tenaga (elektrik) dan pembinaan empangan mega hidroelektrik yang semuanya berada di bawah Kementerian Perancangan Sumber dan Alam Sekitar.

Beliau merupakan menteri kedua kementerian tersebut selepas Taib.

Tiada ulasan: