18 Julai 2014

Nik Aziz: Jika benar MH17 diserang, wajib dikutuk

20 Ramadhan 1435. [MOD] -


Bekas menteri besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat berkata jika benar pesawat MH17 diserang di Ukraine seperti yang dilaporkan hari ini, maka ia wajib dikutuk dan diambil tindakan.
"Masyarakat antarabangsa juga wajib mengambil peranan untuk memberikan tekanan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam konflik agar tidak melibatkan orang awam yang tidak berdosa di dalam pertikaian mereka," kata beliau dalam Facebooknya hari ini.

Mursyidul Am PAS itu juga berharap siasatan terperinci dilakukan terhadap tragedi yang mengorbankan seramai 43 orang rakyat Malaysia dan lebih 200 penumpang yang lain.

"Saya mengharapkan agar satu siasatan terperinci dilakukan ekoran tragedi berkenaan khususnya dari aspek prestasi keselamatan laluan berkenaan yang dikatakan telah bergolak sekian lama," katanya.

Dalam kesempatan itu juga, Nik Aziz berkongsi rasa dukacita berhubung tragedi itu dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat.

"Semoga Allah merahmati roh saudara seagama kita yang dipanggil mengadap-Nya di bulan yang mulia ini," katanya yang kini berada di wad di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).
Malaysiakini/-

Tiada ulasan: