25 Oktober 2021

Abraham Accords pembawa bencana akhir zaman

 

ABRAHAM Accords merupakan perjanjian yang ditandatangani secara bersama oleh beberapa pemimpin negara Arab dengan Benjamin Netanyahu (Perdana Menteri Israel sebelum ini) dan Presiden Amerika Syarikat yang lalu, Donald Trump. Perjanjian ini dimeteraikan melalui upacara rasmi yang diadakan di pekarangan White House.

Trump dan menantunya, Jared Kushner (berbangsa Yahudi Zionis yang beragenda politik) mengambil kredit sepenuhnya ketika rancaknya kempen Pilihan Raya Presiden Amerika. Tujuannya tidak lain tidak bukan bagi membantu kemenangannya dalam pilihan raya di negara besar itu yang tidak berhasil.


Nama perjanjian ini diambil bersempena dengan nama Nabi Ibrahim AS bagi menarik negara-negara Arab dan Islam yang tetap beriman kepada Nabi agung ini.

Nabi Ibrahim AS ialah bapa kepada ramai dalam kalangan Nabi dan Rasul. Khususnya Nabi Musa AS, Nabi ‘Isa AS dan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang berasal daripada susur galur keturunannya, lalu Baginda AS dijadikan simbol yang membawa maksud penyatuan kepada umat Islam, Yahudi dan Kristian.

Bahkan sejarah agama meriwayatkan bahawa kalangan agama berhala juga berbangga dengan Nabi Ibrahim AS, khususnya Musyrikin Arab. Malah, dikatakan bahawa tuhan Brahma dalam agama Hindu itu adalah merujuk kepada Nabi Ibrahim AS.

Al-Quran membetulkan kefahaman tersebut dengan firman Allah SWT:

مَا كَانَ إِبْرَاهِيمُ يَهُودِيًّا وَلَا نَصْرَانِيًّا وَلَكِنْ كَانَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ٦٧ إِنَّ أَوْلَى النَّاسِ بِإِبْرَاهِيمَ لَلَّذِينَ اتَّبَعُوهُ وَهَذَا النَّبِيُّ وَالَّذِينَ آمَنُوا وَاللَّهُ وَلِيُّ الْمُؤْمِنِينَ٦٨ وَدَّتْ طَائِفَةٌ مِنْ أَهْلِ الْكِتَابِ لَوْ يُضِلُّونَكُمْ وَمَا يُضِلُّونَ إِلَّا أَنْفُسَهُمْ وَمَا يَشْعُرُونَ٦٩ يَا أَهْلَ الْكِتَابِ لِمَ تَكْفُرُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ وَأَنْتُمْ تَشْهَدُونَ٧٠

“Bukanlah Nabi Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Kristian, tetapi dia ialah seorang yang tetap berada atas dasar tauhid sebagai seorang Muslim (yang taat dan berserah bulat-bulat kepada Allah), dan dia pula bukanlah daripada kalangan orang-orang Musyrik. (67); Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Nabi Ibrahim (dan berhak mewarisi agamanya) ialah orang-orang yang mengikutinya dan juga Nabi (Muhammad) ini serta orang-orang yang beriman (umat Islam). Dan (ingatlah), bahawa Allah ialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang yang beriman. (68); Terdapat satu golongan daripada kalangan Ahli Kitab suka dan berangan-angan kiranya mereka dapat menyesatkan kalian; padahal mereka tidak akan menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedari (akibat yang buruk itu). (69); Wahai Ahli Kitab! Mengapa kalian mengkufuri (mengingkari) ayat-ayat keterangan Allah padahal kalian menyaksikan kebenaran-Nya? (70).” (Surah Ali ‘Imran: 67-70)

Kedatangan Ibrahim AS dan para anbiya’ AS di Palestin yang menjadi bumi pilihan Allah SWT adalah bagi menegakkan Islam, bukan menegakkan kebangsaan Yahudi yang belum wujud pada zaman Ibrahim AS. Sedangkan bangsa Yahudi lahir beberapa abad selepas itu.

Bahkan, para anbiya’ dalam kalangan Bani Isra’il adalah berjuang menegakkan Islam, bukannya berjuang atas semangat kebangsaan Yahudi yang sempit. Terdapat kalangan mereka yang fanatik Yahudi sendiri menentang para rasul dan beriman secara terpilih. Hal ini dijelaskan oleh firman Allah SWT:

وَلَقَدْ آتَيْنَا مُوسَى الْكِتَابَ وَقَفَّيْنَا مِنْ بَعْدِهِ بِالرُّسُلِ وَآتَيْنَا عِيسَى ابْنَ مَرْيَمَ الْبَيِّنَاتِ وَأَيَّدْنَاهُ بِرُوحِ الْقُدُسِ  أَفَكُلَّمَا جَاءَكُمْ رَسُولٌ بِمَا لَا تَهْوَى أَنْفُسُكُمُ اسْتَكْبَرْتُمْ فَفَرِيقًا كَذَّبْتُمْ وَفَرِيقًا تَقْتُلُونَ٨٧ وَقَالُوا قُلُوبُنَا غُلْفٌ  بَلْ لَعَنَهُمُ اللَّهُ بِكُفْرِهِمْ فَقَلِيلًا مَا يُؤْمِنُونَ٨٨

“Dan sesungguhnya Kami telah berikan kepada Nabi Musa Kitab Taurat, dan Kami iringi kemudian daripadanya dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi Isa Ibni Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril). Maka patutkah, tiap-tiap kali datang kepada kalian seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kalian, kalian (dengan) sombong takabbur (menolaknya), sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kalian dustakan, dan sebahagian yang lain pula kalian membunuhnya? (87); Dan mereka (kaum Yahudi) berkata pula: ‘Hati kami tertutup (tidak dapat menerima Islam).’ (Sebenarnya hati mereka tidak tertutup) bahkan Allah telah melaknat mereka disebabkan kekufuran mereka, oleh itu maka sangat sedikit dalam kalangan mereka yang beriman. (88).” (Surah al-Baqarah: 87-88)

Bangsa Yahudi tidak beriman kepada Nabi ‘Isa AS dan Nabi Muhammad SAW, bahkan kebanyakan para nabi dalam kalangan Bani Isra’il dibunuh oleh mereka dengan cara yang amat zalim. Justeru, perjanjian tersebut ialah satu pembohongan.

Mereka tidak dibenarkan masuk ke Palestin sehingga disesatkan oleh Allah SWT selama 40 tahun kerana enggan berjihad menegakkan agama-Nya bersama Nabi agung, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS. Seterusnya mereka ditimpa dengan bencana apabila dikeluarkan dari bumi Palestin beberapa kali, setelah mereka mengkhianati agama Allah SWT, para rasul dan kitab-Nya.

Maka, menggunakan jenama Ibrahim AS adalah suatu penipuan besar yang sepatutnya diketahui oleh umat Islam khususnya negara-negara Arab yang berbahasa al-Quran.

Pelaksanaan perjanjian tersebut sebenarnya lebih kepada persediaan untuk mengadakan peperangan bukannya perdamaian. Hal ini demikian kerana, objektifnya adalah bagi mengukuhkan strategi ketenteraan, di samping ekonomi yang menjana kewangan negara haram Israel bagi melaksanakan cita-cita negara Israel agung yang menjadi impian Zionis. Perjuangannya berpusat di negara besar yang hendak ditegakkan bermula dari Sungai Nil sehingga Sungai Furat dan dari Laut Merah sehingga Laut Tengah.

Perubahan ibu negara haram itu ke Bait al-Maqdis yang disokong oleh Trump adalah langkah proaktif yang diambil oleh mereka, di samping operasi menentang mana-mana negara yang dianggap pencabar kepada Israel.

Kita menyaksikan bagaimana dilaksanakan operasi membunuh para pemimpin Palestin yang aktif melalui ejen Mossad yang berkeliaran di negara-negara yang mengadakan normalisasi.

Israel tidak terikat dengan perjanjian pengharaman senjata pemusnah yang diharamkan mengikut perjanjian antarabangsa. Sebaliknya beberapa buah negara Arab dan Islam yang menormalisasi digunakan untuk mendukung isu nuklear Iran yang dihangatkan kerana dianggap membahayakan Israel.

Allah SWT melaknat mereka hingga Hari Kiamat dan menggagalkan perancangan mereka. Walaupun mereka bertali arus melakukan kejahatan. Firman Allah SWT:

كُلَّمَا أَوْقَدُوا نَارًا لِلْحَرْبِ أَطْفَأَهَا اللَّهُ وَيَسْعَوْنَ فِي الْأَرْضِ فَسَادًا وَاللَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ٦٤

“…Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya; dan mereka pula secara terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-Ma’idah: 64)

Oleh itu, mana-mana negara dan sesiapa sahaja yang bersekongkol dengan Yahudi, mereka pasti akan menerima padah laknat Allah SWT di dunia dan akhirat.

Mereka hanya menunggu kedatangan al-Masih yang menjadi pemimpin agung yang disebutkan oleh Rasulullah SAW bergelar Dajjal (pembohong besar) yang membawa bencana pada akhir zaman.

ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 18 Rabi’ul Awwal 1443 / 25 Oktober 2021 – HARAKAHDAILY 25/10/2021

Tiada ulasan: