SINGAPURA: Kementerian Kesihatan Singapura mengeluarkan perintah pembetulan kepada laman sesawang Truth Warriors berhubung dakwaan vaksin COVID-19 tidak berkesan.
Bukti antarabangsa menunjukkan secara mutlak bahawa vaksin berupaya mengurangkan jangkitan COVID-19, serta komplikasi serius dan kadar kematian akibat virus itu, kata kementerian itu dalam satu kenyataan, semalam.
Laman sesawang tempatan, Truth Warriors turut mendakwa ubat Ivermectin adalah rawatan yang berpotensi untuk penyakit itu.
Keraguan terhadap vaksin menjadi isu ketika kebanyakan negara berusaha untuk meningkatkan bilangan populasi yang lengkap diberikan vaksin bagi mencapai tahap imuniti kelompok.
Pegawai kesihatan di seluruh dunia juga bergelut dengan maklumat yang salah mengenai rawatan alternatif untuk COVID-19.
Ivermectin, ubat antiparasit yang digembar-gemburkan skeptik vaksin tanpa bukti konklusif bahawa ia berkesan, bagaimanapun sudah dikaitkan dengan keracunan.
Menurut kenyataan itu, laman sesawang terbabit diminta menerbitkan notis pembetulan di bahagian atas setiap halaman yang mengandungi pernyataan berkaitan di bawah arahan dari Pejabat Perlindungan daripada Akta Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA).
Selain itu katanya, terdapat juga penyiasatan jenayah terhadap kes itu.
Di bawah halaman 'Artikel dan Sumber Daya' laman web, pemberitahuan pembetulan sudah dilampirkan pada dua artikel, yang menyatakan halaman itu mengandungi 'fakta palsu' dan mengarahkan pengguna ke laman sesawang kerajaan.
Selain itu, emel untuk mencari maklum balas, dihantar ke alamat yang disenaraikan di laman sesawang Truth Warriors, tidak dijumpai serta merta.
Kementerian Kesihatan Singapura juga mahu Truth Warriors memperbetulkan maklumat berkaitan kes dan kematian dibandingkan dengan kadar vaksinasi di seluruh negara, adakah vaksin dapat mencegah penularan COVID-19 serta keberkesanan Ivermectin sebagai rawatan berpotensi untuk COVID-19 termasuk pada wanita hamil. - BLOOMBERG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan