Kuala Lumpur: Usul pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dijadual hari ini ditangguhkan dan dibawa ke persidangan akan datang.
Penangguhan usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Dewan Rakyat dan dipersetujui suara majoriti ahli dewan.
"Menurut Peraturan 90 (2) dan dengan persetujuan Tuan Yang Dipertua, saya mengemukakan usul untuk menghentikan kuat kuasa Peraturan Mesyuarat 6 iaitu bagi menangguh Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat seperti Perkara 1 yang tertera di Aturan Urusan Mesyuarat usul-usul hari ini ke mesyuarat akan datang," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
Usul penangguhan itu disokong Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang juga Menteri Tenaga dan Sumber Asli.
Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu perlu dibuat bagi menggantikan Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatan pada 23 Ogos lepas.
Bernama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan