Manchester, United Kingdom: Liverpool melakar sejarah menumpaskan Manchester United ketika Mohamed Salah meledak hatrik dalam kemenangan 5-0 di Old Trafford pagi ini sekali gus menimbulkan tanda tanya mengenai kedudukan Ole Gunnar Solskjaer.
Buat pertama kali dalam sejarah Liga Perdana Inggeris, United ketinggalan 4-0 pada babak pertama dan gagal menjaringkan gol dalam aksi dikuasai sebelah pihak.
Naby Keita memulakan jaringan sebelum Diogo Jota menggandakan gol untuk Liverpool mendahului dalam tempoh 15 minit.
Salah kemudian menambah koleksi jaringan untuk musim ini kepada 15 gol dalam 12 penampilan dan menjadi penjaring terbanyak pemain Afrika dalam sejarah Liga Perdana.
Hari yang serba tidak menjadi buat United, Paul Pogba yang beraksi kurang dari 15 minit sebagai pemain gantian pada babak kedua dia dilayangkan kad merah kerana melakukan kekasaran ke atas Keita yang memaksa pemain itu meninggalkan padang dengan pengusung.
Kemenangan pertama Liverpool di hadapan penonton di Old Trafford di bawah kendalian Jurgen Klopp meletakkan mereka mengatasi Manchester City di tempat kedua dan hanya ketinggalan satu mata berbanding pendahulu liga, Chelsea.
Keputusan itu menjadi tanda tanya mengenai harapan United untuk menjulang kejuaraan liga buat pertama kali sejak 2013 dan dilihat hampir berakhir ketika mereka kekal ketinggalan lapan mata daripada pendahulu.
AFP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan