05 November 2021

 DARI kiri; Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris.

DARI kiri; Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad, Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin dan Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris.

IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mendahului senarai 192 penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, hari ini.

Saarani adalah penerima tunggal Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menyusulinya adalah Penasihat Undang-undang Negeri Perak, Azmir Shah Zainal Abidin yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk, manakala Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang juga membawa gelaran Datuk diberikan kepada 13 penerima.

Antara penerima DPMP, Pengarah Pendidikan Perak, Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali; Ketua Pengarah Jabatan Kimia Malaysia, Mohamed Zaini Abdul Rahman; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (Pengurusan), Nor Sham Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Arham Abdul Rahman; Pakar Perunding Pediatrik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr P N Jeyaseelan.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan, Bahagian Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri, Abd Halim Ashaari; Pengarah Kastam Perak, Dr Mohamad Saprin; Ketua Bahagian Neurologi Universiti Malaya, Prof Dr Goh Khean Jin; Pengarah dan Pakar Perunding Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Hospital Bahagia Ulu Kinta, Dr Norhayati Nordin.

Selain itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris; Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohamed Zin Yusop; Orang Besar Jajahan Bagan Datuk, Prof Dr Khalid Ismail dan Ketua Protokol dan Istiadat Negeri Perak, Senior Asisten Komisioner (B) Abu Bakar Romlee.

Empat menerima Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) membawa gelaran Datuk Pahlawan, iaitu Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman; Panglima Wilayah Laut 2 Markas Wilayah Laut 2 Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sandakan, Laksamana Muda Rusli Ahmad.

Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara Markas Pemerintahan Operasi Udara, Mejar Jeneral A Felix Gonsalvez dan Pakar Perunding Bedah Ortopedik Hospital Angkatan Tentera Lumut, Brig Jen Dr Musa Kasmin.

Pada sidang media semalam, Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata siri pertama Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak tahun ini akan diadakan pada 14 November di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar membabitkan masing-masing 19 penerima bagi 2020 dan 2021.

Katanya, jumlah penerima darjah kebesaran dan pingat tahun ini disifatkan masih terhad dengan hampir semua penerima dikenal pasti berusia 40 tahun ke atas selain hanya mereka yang benar-benar layak serta memenuhi kriteria ditetapkan mendapat perkenan Sultan Perak untuk beroleh pengurniaan.

Istiadat pengurniaan tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat yang mana penerima disyaratkan menjalani ujian Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) di premis kesihatan yang diiktiraf dalam tempoh tiga hari sebelum istiadat berlangsung.

BHARIAN.

Tiada ulasan: