05 November 2021

PRN Melaka: SPR keluar SOP pilihan raya pada hari penamaan calon

 

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengeluarkan prosedur operasi standard PRN Melaka pada Isnin sejajar larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya itu.

PETALING JAYA: Prosedur operasi standard (SOP) khas pilihan raya negeri (PRN) Melaka dijangka dikeluarkan selewat-lewatnya pada hari penamaan calon Isnin ini, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

SPR dilaporkan berkata, buat masa ini belum ada sebarang SOP yang dikeluarkan dan dimuktamadkan.

“SOP akan dikeluarkan selewat-lewatnya pada hari penamaan calon Isnin ini,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Minggu lalu, kerajaan Melaka dilaporkan sedang memperhalusi SOP khas berkaitan PRN Melaka yang turut membabitkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan SPR sebelum ia dimuktamadkan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, mengumumkan larangan aktiviti perhimpunan dan majlis sosial berkaitan pilihan raya bermula 25 Okt lalu hingga 27 Nov ini.

Larangan itu dibuat berdasarkan peruntukan mengikut subperaturan 10(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh sebelum ini menetapkan hari penamaan calon pada 8 Nov dan tarikh mengundi awal pada 16 Nov, manakala 20 Nov sebagai hari pengundian.

Beliau berkata, tempoh berkempen pula adalah 12 hari bermula selepas pengisytiharan calon sehingga jam 11.59 malam 19 Nov.

FMT.

Tiada ulasan: